25 tan bekalan makanan selamat tiba di kampung Orang Asli

25 tan bekalan makanan selamat tiba di kampung Orang Asli

UNIT Udara JBPM bersiap sedia untuk menghantar bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Lalok, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menghantar 25 tan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli dalam tempoh tiga hari menerusi 28 penerbangan.

Pegawai Operasi Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Subang, Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Wahyudi Mohd. Sayuhti berkata, bantuan penghantaran itu dijalankan selepas jalan perhubungan ke 13 pos dan kampung Orang Asli di daerah ini rosak sehingga mereka terputus hubungan.

Menurutnya, secara keseluruhannya, jumlah penerbangan yang dilakukan JBPM dianggarkan selama 25 jam selama tiga hari operasi menghantar bekalan makanan.

“Sebanyak tiga pesawat  telah digerakkan sejak Isnin lalu bagi menghantar bekalan ke Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Balar dan Pos Bihai.

“Operasi menghantar bekalan makanan sepatutnya dijadualkan bermula pada Jumaat lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca hujan berterusan selama tiga hari melanda daerah Gua Musang,” katanya selepas operasi terakhir penghantaran 25 pek bekalan makanan ke Kampung Lalok, Pos Bihai hari ini. 

Wahyudi memberitahu, sebanyak 25 tan makanan itu dihantar kepada 1,413 keluarga masyarakat Orang Asli dalam tempoh tersebut.

Katanya, cabaran sepanjang operasi adalah keadaan awan yang rendah selain jarak penglihatan yang terhad kerana hujan masih melanda daerah ini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Gua Musang, Ab. Pattah Hasbullah berkata, kerajaan negeri Kelantan menggunakan jalan darat dan udara untuk menghantar lebih 37 tan bungkusan makanan kepada 2,086 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di 10 pos pedalaman yang terjejas akibat jalan perhubungan rosak disebabkan Monsun Timur Laut.

Katanya, sebanyak 12 tan makanan telah dihantar melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala selebihnya menggunakan perkhidmatan helikopter sejak Khamis lalu.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya