150 unit PPR Krubong bermasalah

150 unit PPR Krubong bermasalah

RAIS Yasin menurunkan tanda tangan pada sebiji bola futsal selepas merasmikan Hari Keluarga PPR Krubong 2023. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dekat sini berdepan dengan pelbagai masalah kerosakan kediaman melibatkan empat blok yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Pengerusi PPR Krubong, Supian Majid berkata, sebanyak 150 unit rumah di situ mengalami pelbagai kerosakan sejak mula diduduki pada 2017.

Beliau berkata, antara masalah kritikal dihadapi mereka adalah sistem keselamatan bomba yang tidak berfungsi sekian lama.

“Selain itu, penduduk turut berdepan masalah puluhan kera sering memasuki rumah mencuri makanan dan kehadiran anjing liar berkeliaran berhampiran PPR Krubong,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, banyak aduan penduduk berhubung kerosakan seperti mozek lantai meletup, saluran paip bocor dan masalah sampah diajukan kepadanya.

“Banyak aduan yang dimaklumkan kepada saya tentang kerosakan rumah kediaman mereka dan baru-baru ini berlaku lagi mozek lantai meletup dan pecah.

“Pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput telah beberapa kali memaklumkan masalah ini kepada LPM.

“Justeru saya amat berharap LPM bertindak segera membaiki kerosakan yang berlaku di empat blok PPR ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga PPR Krubong 2023 di sini hari ini.

Tambah Rais, masalah longkang pecah di dewan serbaguna juga perlu diambil perhatian serius kerana telah berlaku kecederaan kepada kanak-kanak sewaktu bermain futsal.

Katanya, sampah yang tidak diangkut mengikut jadual turut menimbulkan keresahan penduduk kerana masalah pencemaran bau.

“LPM perlu bertindak segera untuk membaiki kerosakan yang berlaku kerana tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya