11 petisyen bantah keputusan PRU15

11 petisyen bantah keputusan PRU15

SEBANYAK 11 petisyen difailkan di mahkamah untuk membatalkan kemenangan keputusan PRU-15 di Parlimen terbabit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 11 petisyen pilihan raya difailkan pelbagai pihak memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelas petisyen itu melibatkan tiga di Terengganu, empat di Sabah dan masing-masing satu di Johor, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding pada PRU14 iaitu 24 petisyen sekali gus menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas menjalankan fungsinya.

Pada PRU13 pula mencatatkan jumlah petisyen pilihan raya ter­tinggi iaitu Barisan Nasional (BN) 21, manakala pembangkang 35.

Bagi PRU15, bantahan keputusan pilihan raya Terengganu membabitkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu yang difailkan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kerana beliau mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN) serta tiga calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid yang menang majoriti 27,179 undi.

Di Parlimen Marang, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengekalkan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang Datuk Amzad Hashim (Pas) yang memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga calon lain.

Turut memfailkan petisyen Tengku Razaleigh Hamzah mencabar keputusan Parlimen Gua Musang atas dakwaan wang dibayar kepada pengundi sebagai balasan selain beberapa kotak undi dari pusat mengundi tertentu juga tidak diambil kira.

Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi itu kali ke-12 apabila tewas tipis 163 undi kepada Mohd. Azizi dengan memperoleh 21,826 undi sekali gus menewaskan penyadandang kerusi itu sejak 1974.

Di Masjid Tanah, Melaka, Mah­kamah Tinggi menetapkan 31 Januari ini bagi bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan BN untuk membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Abdul Hakim Abdul Wahid yang memperoleh 21,193 undi tewas kepada Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah itu dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,411 undi.

Turut mengemukakan petisyen calon BN, M Ramasamy di Parlimen Segamat bagi membatalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), R Yuneswaran menang majoriti 5,669 undi.

Antara Parlimen lain yang turut mencabar keputusan PRU15 lalu ialah Lubok Antu di Sarawak manakala di Sabah melibatkan Sandakan, Putatan, Tenom dan Tuaran.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia , jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding pada PRU14 lalu sekali gus menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas menjalankan fungsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN