Ulat jaket makin aktif buru mangsa kaya di KLIA

Ulat jaket makin aktif buru mangsa kaya di KLIA

ZAILANI Hashim menunjukkan kereta yang disita dalam Op Ulat di Balai Ketibaan KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Meskipun berjaya digempur pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Ulat pertengahan Mac lalu, kegiatan haram dikenali ulat jaket dikesan aktif kembali.

Perkara tersebut malah diakui sendiri oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim pada sidang akhbar di sini hari ini bersempena Ops Ulat yang diadakan sembilan hari lalu.

“Kita (JPJ) sudah pun membuat pemantauan dan hanya tunggu masa sesuai untuk dapat tangkap mereka dengan penumpang yang jadi mangsa jenayah teksi haram ini,” katanya.

Pihak penguat kuasa JPJ Selangor pernah melakukan Ops Ulat dari 8 hingga 15 Mac lalu melibatkan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Operasi berkenaan menyaksikan 14 pemandu ditangkap dan suspek dirujuk sebagai ulat jaket kerana dikenali dengan berperwatakan menarik serta berpakaian jaket yang kemas.

Sasaran utama mangsa mereka ialah para pelancong dari rantau Asia Barat yang diketahui mampu berbelanja mewah dan bercuti di pelbagai lokasi menarik selama lebih seminggu.

Berbanding ‘ulat’ biasa yang caj mahal sedikit daripada teksi sah atau e-hailing ada permit untuk cuma satu destinasi, mereka pula dikesan meraih keuntungan puluhan ribu ringgit.

Mengulas lanjut, Zailani yang ditemani Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, agensi itu sedang giat melakukan perisikan untuk elak dijejak ulat jaket terbabit.

“Mereka tahu kita ada buat pemantauan rapi dan dia juga bijak apabila ‘senyap’ seketika sepanjang Ops Ulat dari 4 Disember lalu sehingga semalam di KLIA dan KLIA2,” katanya.

Bagaimanapun berdasarkan intipan, ulat jaket sering menggunakan kereta saiz besar atau van mini berjenama mewah boleh mengisi ramai penumpang dan dimuat banyak bagasi.

Ada dikesan milik persendirian dan tidak kurang sanggup menyewa daripada pihak tertentu kira-kira RM500 sehari kerana tahu mereka masih boleh meraih untung lebih 100 peratus.

Anehnya, ujar beliau, ulat jaket ini dipercayai mungkin mendapat maklumat awal daripada agensi pelancongan tertentu yang membocorkan maklumat ketibaan mangsa di Malaysia.

Antaranya kata Zailani termasuk tempoh mangsa itu mahu bercuti di negara ini, destinasi ingin dituju dan pakej ditawarkan agar si pemangsa tersebut dapat bersiap sedia awal.

Justeru, beliau memberi amaran agar ulat tersebut menghentikan kegiatan itu yang bukan sahaja tiada perlindungan insurans kepada penumpang, malah, menjejaskan imej negara.

“Setakat ini, memang tiada kes nahas maut tetapi bayangkan jika berlaku, pelancong luar akan pandang buruk Malaysia konon tiada kawal selia teksi dan e-hailing sah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN