Tubuh jawatan kuasa khas kaji beban tugas guru -NUTP

Tubuh jawatan kuasa khas kaji beban tugas guru – NUTP

AMINUDDIN Awang bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Pertukaran MoU antara NUTP dan A Tech di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatan kuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, jawatan kuasa berkenaan bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian terhadap beban tugas yang tidak relevan dengan profesion perguruan.

Jelas beliau, walaupun masalah itu telah lama disuarakan kepada Kementerian Pendidikan, namun tiada tindakan dilakukan.

“Beban tugas yang saya maksudkan adalah kerja-kerja yang tidak relevan, boleh kata segala-galanya gurulah yang perlu laksanakan. Beban tugas kini lebih bersifat pengkeranian yang menyebabkan masa bersemuka antara guru dan murid semakin mengecil. 

“Di universiti, kita diajar tentang pengajaran dan pembelajaran, tetapi apabila pergi ke sekolah, kita banyak diberi kerja yang bukan bersifat mengajar. Masalah ini tidak berkesudahan sejak beberapa Menteri Pendidikan sebelum ini. 

“Saya harap Menteri Pendidikan baharu, Fadhlina Sidek dapat mewujudkan jawatan kuasa khas ini bagi mencari resolusi terhadap beban tugas guru,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara NUTP dan Tech Insure Sdn. Bhd. (A Tech) di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas keperluan dasar sedia ada diteruskan, Aminuddin berkata, NUTP menyambut baik keputusan Fadhlina yang sedia meneruskan dasar terdahulu.

Katanya, masalah besar yang dihadapi guru sebelum ini adalah apabila Menteri Pendidikan bertukar, akan berlaku juga perubahan dasar.

“Kita tidak mahu murid-murid yang seramai lima juta di negara ini dijadikan bahan uji kaji. Mana-mana perkara baik diteruskan dan mungkin perlukan sedikit penambahbaikan.

“Sesuatu benda (dasar) mungkin baik semasa dilancarkan, tetapi seiring perubahan masa dan suasana, mungkin sedikit pelarasan perlu dibuat,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN