KUALA LUMPUR: Seorang waris mangsa tanah runtuh tidak boleh bersabar lagi apabila dia mahu mencari sendiri empat ahli keluarga termasuk anaknya yang masih belum ditemui di tapak kejadian tanah runtuh Batang Kali-Genting Highlands.
Ini kerana, waris yang berasal dari Kampung Machap Baru, Melaka itu menyangka tiga mayat yang masih berada di Hospital Sungai Buloh ketika ini merupakan ahli keluarganya, namun hasil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) tidak sepadan dengannya.
Sebaliknya, tiga mayat terdiri daripada dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak itu dituntut oleh sebuah lagi keluarga dari Kampung Machap Umboo, namun mereka juga masih belum menemui seorang lagi ahli keluarga iaitu seorang kanak-kanak.
Dengan keputusan DNA itu, sudah tiga hari waris itu tidak mengetahui khabar berita mengenai anaknya sejak kejadian tanah runtuh berlaku pada waktu pagi Jumaat lalu.
Dia yang sudah terdesak untuk mencari ahli keluarganya meminta bantuan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim.
Tian Chua ketika bertemu pemberita menjelaskan, waris itu merupakan kenalannya memandangkan dia merupakan ahli PKR dan berasal dari Machap, Melaka.
Malah, katanya, beliau juga mengenali keluarga waris mangsa serta mangsa lain dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong kerana sekolah itu merupakan sebahagian daripada Parlimen Batu.
“Jadi, mereka (waris) mahu ke tapak kejadian, sebab kalau mangsa dijumpai, mereka boleh dapat tahu lebih awal. Mereka juga mahu buat upacara sembahyang supaya ahli keluarganya dapat ditemui, jadi diharap pihak berkuasa dapat jumpa secepat mungkin.
“Pihak hospital akan terus memberikan khidmat sokongan dan kaunseling kepada waris. Semua pihak sedang bekerja keras dan harapnya penemuan mangsa boleh memberikan sedikit keredaan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga,” katanya. –UTUSAN