Tiga bot nelayan tangguk benih kerang secara haram ditahan

Tiga bot nelayan tangguk benih kerang secara haram ditahan, rampasan bernilai RM80,820 

SALAH sebuah bot yang ditahan menerusi Op Aman selepas dipercayai melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram di sekitar perairan Kuala Sanglang, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan tiga bot fiber yang dipercayai melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram di sekitar perairan Kuala Sanglang, di sini, semalam.

Ketiga-tiga bot berkenaan ditahan di lokasi berbeza pada kedudukan 0.5 hingga 2.4 batu nautika dari barat laut Kuala Sanglang sekitar pukul 6.30 petang menerusi rondaan Op Aman.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati semua bot berkenaan yang berpangkalan di Kedah itu melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram di perairan negeri ini.

“Ketiga-tiga bot itu masing-masing dikemudikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berumur antara 30 hingga 68 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, semua tekong, awak-awak, bot dan hasil tangkapan benih kerang dianggarkan bernilai RM80,820 dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana tiada nombor pendaftaran dan Seksyen 8 (b) Peraturan 8 kerana melanggar syarat sah lesen.

“Kerang amat penting dalam ekonomi dan ia menjadi penanda aras bagi kepelbagaian biodiversiti dan kelestarian sumber perikanan yang terdapat di perairan kita,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga memohon kerjasama orang ramai supaya dapat melaporkan segera sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus berhubung dengan APMM menerusi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya