Tidak lena tidur berdebar nak berkhatan

Tidak lena tidur berdebar nak berkhatan

SUASANA meriah pada Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah di Surau Taman Asean, Malim, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Acara berkhatan atau ‘masuk jawi’ secara beramai-ramai pada musim cuti persekolahan menjadi kenangan manis bagi semua kanak-kanak lelaki apabila mereka sudah menginjak ke usia dewasa kelak.

Ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah di Surau Taman Asean, Malim di sini, seorang peserta berusia sembilan tahun, Haqimie Mohd. Effandy berkata, debaran keterujaan untuk berkhatan jelas dirasai sehingga membuatkan dia tidak lena tidur sehari sebelum majlis.

Katanya, bagaimanapun setelah melalui proses berkenaan, berkhatan atau bersunat tidaklah ‘sengeri’ yang digambarkan orang dewasa dan dia tidak berasa sakit ketika melaluinya.

“Orang besar cakap tok mudim nanti akan guna kapak, pisau besar dan sebagainya. Tapi ketika bersunat saya langsung tidak rasa sakit. Bersunat memang menggembirakan sebab dengan ramai-ramai kawan, tadi mandi sama-sama atas lori.

“Malam sebelum sunat memang saya tidak lena tidur, sebab rasa teruja campur dengan berdebar hendak datang ke sini. Tapi emak beritahu tidak sakit dan ia dilakukan sekejap sahaja,” katanya.

Program itu disertai seramai 31 kanak-kanak berusia dari tujuh hingga 12 tahun.

Sebelum acara berkhatan, mereka dihiburkan dengan pelbagai persembahan untuk mengurangkan rasa takut antaranya persembahan badut, demonstrasi memadam kebakaran oleh bomba dan cabutan bertuah.

Dalam pada itu, ibu kepada Haqimie, Nur Ashikin Abdullah, 34, berkata, dia memilih menghantar anaknya ke program sedemikian kerana proses berkhatan beramai-ramai dapat mengurangkan perasaan takut dalam kalangan kanak-kanak, berbanding jika dilakukan secara persendirian di klinik.

“Ibu bapa lebih mudah mengendalikan emosi anak-anak yang ketakutan kerana mereka melaluinya secara beramai-ramai. Ketakutan itu dapat diminimumkan. Program seumpama ini wajar diteruskan pada setiap cuti sekolah bagi memudahkan anak-anak kariah setempat,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN