NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan takwim sesi persekolahan yang ketika ini bermula pada Mac akan dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu Januari.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian sedang berusaha ke arah itu, namun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Antara masalahnya ialah kerana kalendar akademik beserta justifikasi telahpun dikeluarkan.
“Sebagai contoh, jumlah hari bersekolah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” kata beliau ketika diminta mengulas sama ada KPM akan menjadualkan semula sesi persekolahan pada Januari.
.Menurut beliau, KPM turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B yang dikhuatiri boleh mengganggu proses peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Terdahulu, KPM menetapkan sesi akademik persekolahan tahun 2023 dan 2024 bermula Mac kerana mahu memberi ruang yang cukup kepada murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selepas tertangguh ekoran penularan Covid-19.
Terdahulu, Fadhlina mengumumkan memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir.
Kata beliau, kerajaan memberi jaminan sekolah-sekolah yang mengalami kerosakan akan dibaiki segera bagi memastikan pembelajaran murid-murid tidak terjejas.
“Kita akan gunakan peruntukan ini sebaik sahaja menerima laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berkaitan kerosakan yang berlaku di sekolah-sekolah.
“Kita memang sudah bersedia dan mengarahkan mereka untuk memantau sekolah yang terkesan supaya bantuan penyelenggaraan boleh disegerakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN