226 anggota trafik kawal lalu lintas sempena Sambutan Tahun Baharu

226 anggota trafik kawal lalu lintas sempena Sambutan Tahun Baharu

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Trafik, Kuala Lumpur akan menugaskan seramai 226 anggota trafik bagi mengawal lalu lintas di sekitar kawasan tumpuan ibu negara sempena sambutan malam Tahun Baharu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan orang awam.

“Penugasan itu adalah antara persiapan utama yang dirangka bagi mengawal situasi lalu lintas di lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur.

“Keseluruhan kekuatan operasi melibatkan hampir 300 anggota termasuk pasukan sokongan, dengan fokus utama memastikan suasana sambutan kekal selamat, terkawal dan lancar,” katanya di sini. 

Katanya, pihaknya mahu memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Tumpuan penguatkuasaan akan diberikan terhadap pencegahan aktiviti samseng jalanan, pemanduan berbahaya serta pelanggaran undang-undang lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan berbahaya di jalan raya,” jelasnya.

Menurutnya, orang ramai diingatkan agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan anggota bertugas serta mengamalkan sikap bertolak ansur bagi mengelakkan kesesakan dan sebarang insiden tidak diingini.

“Selain itu, pengguna jalan raya digalakkan menyelesaikan saman tertunggak dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri serta pengguna lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN