Seksyen 41A ASPRM halang perasuah lari begitu sahaja

Seksyen 41A ASPRM halang perasuah lari begitu sahaja

GOPAL SRI RAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ramai perasuah akan bebas daripada pertuduhan begitu sahaja sekiranya pihak pendakwaan perlu membuktikan kesahihan setiap dokumen berdasarkan Akta Keterangan 1950.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, penggunaan Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 adalah bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku dan turut mencerminkan hasrat Parlimen untuk menggantikan Bab V Akta Keterangan 1950.

“Membawa penjenayah ke muka keadilan dengan berpandukan undang-undang ketat di bawah Akta Keterangan 1950 boleh mendatangkan beberapa halangan terutamanya pada hari ini, transaksi-transaksi bernilai jutaan ringgit boleh dilakukan secara atas talian dengan sekelip mata.

“Keperluan agar pihak pendakwaan hendaklah membuktikan kesahihan setiap dokumen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Keterangan 1950 boleh menyebabkan ramai penjenayah terlepas.

“Penerimaan masuk sesuatu dokumen sebagai bukti mengikut Seksyen 41A ASPRM tidak boleh dikira sebagai satu pengakhiran kerana Mahkamah masih perlu membuat keputusan berdasarkan fakta bagi setiap kes,” kata Sri Ram ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memohon untuk memasukkan beberapa rakaman audio yang merupakan sebahagian daripada rakaman-rakaman audio yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada 8 Januari 2020.

Dua rakaman audio tersebut sempat dimainkan di mahkamah sebelum ini sewaktu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-42 dan menyatakan salah seorang individu dalam rakaman itu ‘kedengaran seperti (suara) Najib’.

Pihak pembelaan ketika membantah permohonan tersebut menghujahkan sekiranya beberapa rakaman audio termasuk perbualan di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seseorang yang dipanggil ‘Yang Mulia’ (Your Highness) boleh menjejaskan hak bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Tindakan itu juga secara tidak langsung melanggar hak privasi bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Sri Ram sekali lagi menegaskan bahawa rakaman dan transkrip rakaman yang ingin dimasukkan sebagai bukti oleh pihak pendakwaan adalah relevan terhadap kes itu dan akan menunjukkan modus operandi tertuduh (Najib)

“Salah satu perkara yang dibangkitkan pihak pembelaan ketika membantah penerimaannya adalah bahawa ia diperoleh secara tidak wajar. Kami dengan ini menyatakan bahawa prinsip umum ialah, bukti yang relevan walau bagaimanapun diperolehi boleh diterima masuk,”ujar Sri Ram.

Permohonan tersebut dibuat dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding yang didengar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya