Saya cool tapi jangan tekan saya - Johari Abdul

Saya cool tapi jangan tekan saya – Johari Abdul

johari
Datuk Johari Abdul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SIDANG Dewan Rakyat dua hari menyaksikan buat kali pertama Kerajaan Perpaduan duduk bersama dalam Parlimen dan dengan kepimpinan baharu dan segalanya perlu diuruskan secara baik oleh Datuk Johari Abdul.

Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu itu mengakui ia suatu cabaran besar buat dirinya, namun beliau yang sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama 15 tahun dilihat mampu mengawal keadaan meskipun dua hari tempoh persidangan itu kecoh.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN bersama bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

 

UTUSAN: Apa yang Datuk boleh rumuskan sepanjang dua hari bersidang?
JOHARI: Hubungan antara ah­li parlimen daripada pelba­gai parti dalam Kerajaan Perpaduan hebat, saling hormat-menghormati dan cantiknya yang berpengalaman dalam kerajaan se­karang. Yang pembangkang dulu berbeza pendapat sekarang dalam kerajaan, ini membantu.

Contohnya dalam ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia menjadi pembangkang begitu lama, sekarang dalam kerajaan dan anggota Kabinet dalam kerajaan dulu akan membantu dia (Anwar) menjelaskan beberapa perkara yang boleh diselesaikan.

Bayangkan kalau dia (Perdana Menteri) tiada maklumat, mungkin jadi lambat bertindak, tapi kita ada Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkumpul dalam kelompok yang dengan sendirinya memberikan kelebihan walaupun dalam suasana berbeza.

Pergaduhan seperti perka­taan ‘beruk’ daripada ahli parlimen, bagaimana Datuk mahu memastikan perkara ini tidak berulang?

Masih ada yang terbawa-bawa emosi sewaktu berkempen, saya tidak dapat nafikan dan saya rasa elemen marah masih tidak reda. Saya rasa insya-Allah bila tiba Februari tahun depan, perasaan marah tu semakin hilang.

Saya juga akan ambil inisiatif secara berkumpulan ahli parlimen yang baru ini, kita akan terangkan mengenai perasaan menghormati ins­titusi Parlimen, tatatertib yang harus ada supaya dipandang masyarakat begitu tinggi.

Kalau tidak dapat sesuaikan diri dengan tatatertib itu, kita akan dilihat sebagai tidak menghormati institusi itu sendiri. Jadi, saya sebagai speaker dan sudah 15 tahun menjadi wakil rakyat, harus berikan maklumat ini kepada mereka.

Saya akan panggil dalam berkumpulan, bukan ramai-ramai sebab mereka pun ada ego mereka?

Adakah perkara sebegitu sudah dijangka dan bagaimana Datuk ingin mengawal emosi?
Saya kenal watak-watak ini, hampir 80 peratus saya kenal sama ada sebagai ahli politik di luar mahupun sebagai ahli parlimen di dalam dan oleh kera­na jangkaan itulah saya dapat mengawal keadaan.
Saya faham tingkah laku me­reka, jadi kadang-kadang perlu lebih tegas tetapi tidaklah sampai minta mereka keluar kerana itu tindakan yang tidak membantu kita.
Untuk halau mereka keluar, itu tindakan yang terakhir sebab saya tidak suka. Pada saya, benda boleh selesai, kita selesailah. Ja­ngan sampai halau mereka, tak payah.

Fokus Datuk sebagai Speaker Dewan Rakyat?

KPI saya mudah, KPI saya bukan meredakan pergaduhan, tetapi sejauh mana saya boleh mencapai tujuan atau saya boleh selesaikan masalah RUU yang dimasukkan itu.

Masuk lima RUU, mesti selesai lima. Kalau orang yang cuba melengahkan , saya akan cakap yang saya ada masalah untuk selesaikan ini. Contoh seperti semalam (mini bajet), sepatutnya selesai selepas rehat 2.30 petang, tetapi lebih awal saya selesaikan. Ini masalah rakyat, bukan masalah parti atau apa.

Selain itu, reformasi adalah agenda utama saya. Selain fungsi sebagai spea­ker, saya akan te­ruskan reformasi yang dibawa dua speaker iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Tan Sri Mohamad Ariff Yusof yang meletakkan batu asas cukup kukuh, antaranya ialah reform jawatankuasa khas dan saya akan naikkan kedudukan mereka ke satu tahap yang ha­rus dihormati selain Kabinet.

Saya juga ingin jadikan Parlimen sebagai wadah demokrasi yang lebih dipamerkan, bukan hanya dilaungkan. Contoh­nya anak muda boleh banyak buat kursus di sini, lawatan di peringkat sekolah, universiti, dedahkan mereka dengan sistem amalan demokrasi dengan memberikan peluang untuk berdebat dalam parlimen belia, itu saya akan perbanyakkan.

Karakter Datuk yang ahli parlimen perlu tahu?

Saya simple and reasonable man, tetapi don’t underestimate. Saya boleh bincang, tetapi ja­ngan tekan saya sebab saya sa­ngat objektif. Objektif saya di hujung sekali. Saya nak apa yang saya set itu terjadi.

Kalau ada ahli dalam dewan yang tidak mahu mendegar arahan speaker, susahlah kan? Kita ada masa yang perlu diikuti, kalau kita biarkan pergaduhan yang tidak objektif, ia akan menghilangkan masa sedangkan kita ada agenda yang lebih besar untuk memba­ngunkan masyarakat, selesaikan masalah, melayan kerenah peribadi ini tidak adillah, jadi saya cadangkan, pergi minum kopi lah di luar selesaikan masalah mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×