KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (PH-PKR) dijangka terlibat dalam sesi perbahasan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 3.30 petang nanti.
Rafizi memaklumkan perkara itu menerusi ciapan di akaun Twitter milik beliau.
Pembentangan usul undi percaya itu adalah bagi membuktikan keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu sebagai Perdana Menteri ke-10 mengikut butiran terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.
Usul tersebut bakal membuktikan Anwar mendapat sokongan ahli parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.- UTUSAN