Penoreh bina pondok terapung hadapi banjir

Penoreh bina pondok terapung hadapi banjir

ROSLAN Hassan dan isterinya, Erawati Jaafar menunjukkan pondok terapung yang dibina di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penat berdepan kemusnahan harta benda saban tahun akibat banjir, seorang penoreh getah di Kampung Teladas, Air Putih, di sini membina sebuah pondok terapung bagi menempatkan barangan sebagai persediaan banjir.

Roslan Hassan, 51, berkata, dia membina pondok terapung itu sejak dua bulan lalu selepas melihat kejayaan tukang kayu di Kampung Tebak, A. Bakar Che Ahmad, 67, yang membina reban dan rumah terapung untuk menyelamatkan ternakan serta barangan daripada banjir.

“Setiap tahun, hampir empat kali saya dan keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara sebab rumah terletak di kawasan rendah dan mudah dinaiki air.

“Kadangkala, air naik hingga ke paras bumbung dan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan. Bila lihat cara penduduk di Kampung Tebak menyelamatkan barang ketika banjir, terlintas di fikiran untuk melakukan perkara sama sebab sudah banyak perabot dan barang-barang dalam rumah musnah sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia turut berjumpa dengan tukang kayu itu dan mendapat tunjuk ajar membina pondok terapung.

Bapa kepada tiga orang anak berusia lapan hingga 14 tahun itu berkata, berbekalkan duit simpanan hasil menoreh getah dan elaun bersama isterinya, Erawati Jaafar, 38, yang masing-masing merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dia membelanjakan kira-kira RM5,000 bagi membina pondok terapung itu.

Katanya, ia dibina dengan menggunakan kayu sementara di bahagian bawah pula diletakkan sebanyak 20 biji tong plastik supaya pondok ini terapung apabila air mula melimpah di kawasan rumah.

“Banjir kali ini adalah percubaan kali pertama untuk saya tempatkan barang-barang dan perabot di pondok ini.

“Kalau ia terapung, mungkin tahun depan saya besarkan lagi pondok ini untuk dijadikan tempat kami berteduh sebab kawasan ini biasanya air tidak laju sebab bukan laluan utama sungai, hanya limpahan air sahaja,” katanya.

Roslan berkata, dia turut mengikat pondok itu pada empat batang pokok bagi memastikan tidak hanyut dan selamat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya