Pengeluaran harumanis cecah 3,600 tan tahun hadapan

Pengeluaran harumanis cecah 3,600 tan tahun hadapan

RAZALI Saad (dua dari kiri), Hafizuddin Othman (dua dari kanan) dan Mohd Farid Md Yusof (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pemasaran dan Pembangunan Industri Mangga Harumanis Perlis di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran sebanyak 3,600 tan metrik mempelam harumanis tahun depan dengan nilai dianggarkan sekitar RM72 juta.

Hasil tersebut melibatkan kawasan tanaman seluas 1,200 hektar di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, sasaran pengeluaran ditetapkan itu dijangka meningkat berbanding tahun ini berdasarkan kepada ramalan Jabatan Mateorologi bagi tempoh pertengahan bulan ini sehingga tahun hadapan.

“Musim buah harumanis akan bermula pada pertengahan bulan April dan kita jangka pada Februari ini proses pembungaan akan bermula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pemasaran dan Pembangunan Industri Mangga Harumanis Perlis di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama bagi menandatangani perjanjian itu adalah Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman dan Presiden Kayangan Agro Farm Sdn Bhd, Datuk Mohd Farid Md Yusof dengan disaksikan sendiri oleh Razali.

Menerusi kerjasama itu, Kayangan Agro Farm Sdn Bhd (KAFSB) dilantik sebagai rakan niaga eksklusif pemasaran dan pengedaran mempelam harumanis dengan jenama ‘Kayangan Harumanis’.

Mengulas lanjut, Razali berkata, KAFSB dipilih untuk membantu bagi melaksanakan pembelian harumanis daripada seluruh pengusaha di bawah bimbingan Jabatan Pertanian negeri.

“Malah, mereka juga berperanan untuk menyeragamkan dan menyelaras pengedaran mangga harumanis ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang merasai buah ini.

“Bagi menjayakan usaha ini juga, saya berharap agar pengusaha tanaman harumanis ini dapat membekalkan buah yang berkualiti bagi menjaga imej industri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KAFSB, Mazlan Nordin berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya mensasarkan pembelian sebanyak satu juta kilogram harumanis daripada pengeluar-pengeluar buah berkenaan di negeri ini.

Katanya, KAFSB juga akan meningkatkan kualiti kehidupan petani menerusi pertambahan hasil, kualiti dan kecekapan pemasaran berlandaskan kepada kawalan mutu yang ketat.

“Usahasama ini akan berlangsung selama tiga tahun dengan opsyen untuk dilanjutkan lagi bagi tempoh dua tahun,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya