Pemberian subsidi satu 'dongengan ekonomi' 

Pemberian subsidi satu ‘dongengan ekonomi’ 

Noor Azlan Ghazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian subsidi dan harga barangan murah bukan penyelesaian yang mapan sekiranya kerajaan mahu menangani beban kos sara hidup rakyat dan mengurangkan beban tanggungan perbelanjaan awam.

Pengarah Minda, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali menyifatkan langkah mekanisme subsidi dan harga murah merupakan satu ‘dongengan ekonomi’ dan pembaziran merugikan walaupun ada pandangan mengatakan langkah itu menyebabkan harga menjadi murah manakala kos kehidupan rakyat menurun. 

Kata pakar ekonomi itu, jumlah subsidi 2021 sudah hampir mencecah RM80 bilion iaitu hampir sama dengan jumlah bayaran emolumen untuk semua kakitangan awam.

“Satu pembaziran yang amat merugikan. Kalau kita teruskan begini, adakah setiap tahun kita sanggup belanja RM80 bilion lagi untuk subsidi? Setiap tahun kita akan berhutang lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE)? Ini tidak mapan, kedudukan fiskal kita tidak akan boleh bertahan. Polisi ini membelit leher kita sendiri dan kita mesti cari jalan keluar lebih mampan dan menyelesaikan masalah. 

“Subsidi adalah belanja hangus. Cara kita memberi subsidi umpama membuka paip air tanpa rancangan bila ia akan ditutup. Semua orang ambil air dari paip ini yang miskin dan yang kaya, semua dapat. Yang kaya tong airnya lebih besar, maka banyaklah air yang dia dapat. Air keluar tak berhenti. Di sepanjang paip terlalu banyak kebocoran. Ada yang nakal, ambil air percuma ini, botolkan dan jual semula. 

“Tiada penghujungnya. Bil air melambung, siapa yang tanggung? Banyak keperluan perbelanjaan lain terpaksa ditangguh atau dibatalkan,” katanya dalam Facebook beliau.

Malah, menurut Noor Azlan lagi, ketagihan harga murah adalah antara penyebab utama gaji dan upah untuk pekerja tidak mahir menjadi rendah walaupun ia adalah idaman semua pihak. 

Beliau juga menegaskan tindakan itu bukan sahaja menghalang pendapatan yang lebih baik untuk kumpulan berpendapatan rendah malah menghalang negara daripada berganjak kepada ekonomi menggunakan teknologi terkini.

“Untuk membolehkan harga murah, kita lambakkan ekonomi kita dengan tenaga buruh asing yang murah. Majikan kita ketagih buruh yang murah. Lambakan buruh asing menggasak keluar rakyat Malaysia dari kumpulan berpendapatan rendah dari mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan berkadaran dengan cara hidup rakyat Malaysia,” jelasnya.

Justeru, Noor Azlan meminta kerajaan mencari pendekatan baharu untuk menyelesai masalah yang dihadapi Malaysia dengan mencari pendekatan baharu yang mampan, tidak membebankan dan produktif.

“Kita mesti berubah. Tidak boleh selamanya subsidi dan harga murah,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN