Pembantu dapur warga Thailand terlepas tali gantung

Pembantu dapur warga Thailand terlepas tali gantung

MAHKAMAH Tinggi Seremban hari ini melepas dan membebaskan Alsu Nichi atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya tiga tahun lalu.-UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pembantu dapur warga Thailand terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini melepas dan membebaskannya atas pertuduhan membunuh rakan senegara di sebuah restoran di Taman Bukit Emas, di sini tiga tahun lalu. 

Hakim, Datin Rohani Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Alsu Nichi, 22. 

Rohani dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh selepas membuat penilaian secara maksimum. 

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie (keraguan munasabah) terhadap pertuduhan kes ini,” katanya. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Abdul Rosah Jamu, 24, di belakang kedai Doll Tomyam, Jalan Tampin Bukit Emas di sini pada pukul 9.30 malam, 21 April 2019. 

Sehubungan itu, tertuduh yang berasal dari Pattani, Thailand didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Sepanjang perbicaraan, seramai 18 orang saksi dipanggil memberi keterangan. 

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Alauddin Baharom manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Nurul Aina Ardilla dan Vivi’asnita Zaina’larifin.

Haresh ketika ditemui selepas selesai prosiding kes berkata, ada beberapa perkara atau elemen tidak dapat dibuktikan pihak pendakwaan sekiranya pertuduhan ke atas tertuduh diteruskan seterusnya dia dilepas dan dibebaskan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN