YAN: Demi meneruskan kelangsungan hidup, sepasang suami isteri terpaksa bergantung harap kepada bantuan jiran semata-mata di rumah mereka di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan di sini sejak setahun lalu.
Namun, disebabkan bantuan yang diterima tidak begitu banyak, Ibrahim Ashari, 63, dan isterinya, Ropishah Abdullah, 58, terpaksa mencatu makan dan minum mereka sehingga ada kalanya hanya makan sekali sehari sahaja bagi mengelak bekalan cepat habis.
Lebih memilukan, pasangan itu hanya menjadikan ikan belukang yang dipancing di anak sungai berhadapan rumah mereka bagi menggantikan sumber protein kerana tidak mempunyai wang untuk membeli ikan di pasar.
“Saya mempunyai dua anak lelaki dan tiga perempuan berusia antara 28 hingga 40 tahun melalui perkahwinan pertama dan tidak mempunyai zuriat selepas berkahwin dengan Ropishah sejak 11 tahun lalu.
“Namun disebabkan kesemua mereka telah berumah tangga dan mempunyai tanggungan masing-masing saya tidak pernah mengharapkan bantuan mereka selama ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Menurut Ibrahim, kehidupannya dahulu tidaklah seteruk ini kerana pendapatannya sebagai nelayan yang mempunyai perahu dan peralatan memukat sendiri boleh menyara kesemua anaknya.
“Kami mula dihimpit kesusahan selepas bot dan peralatan memukat terpaksa dijual ekoran perselisihan faham membabitkan anak-anak dan ibu tiri mereka hingga saya hilang pendapatan.
“Sejak itu kami hidup susah dan hanya bergantung kepada belas ihsan jiran yang memberi beras dan bahan dapur untuk meneruskan hidup,” katanya.
Kehidupan mereka menjadi semakin sukar selepas pasangan itu disahkan mengidap penyakit diabetes dan tidak boleh bekerja berat kerana sering letih menyebabkan gagal menjelaskan bayaran bil elektrik yang telah mencecah RM2,940.65 dan bil air sebanyak RM440.
“Malang nasib saya berterusan dan tidak boleh bekerja mencari wang menyara kehidupan kami berdua selepas menjalani pembedahan membuang kulit tumit ekoran terpijak kaca tiga bulan lalu.
“Saya juga tidak pernah mendapat sebarang bantuan daripada agensi kerajaan walaupun pernah membuat permohonan sebelum ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0212529000094730 atau menghubungi talian 013-2672188.-UTUSAN