PORT DICKSON: Ibu hamil lapan bulan antara tiga pengunjung bertuah yang memenangi kereta sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di sini yang berakhir, semalam.
Wanita itu, Afzatul Marwa Ahmad, 27, memenangi Perodua Alza yang merupakan hadiah utama ketiga ditawarkan dalam penganjuran acara tersebut.
Dia yang merupakan suri rumah dan menetap di Sendayan, Seremban berkata, dia sememangnya tidak menyangka untuk muncul pemenang apatah lagi memenangi hadiah utama tersebut.
“Saya sebelum ini tidak pernah menang apa-apa pun walaupun cabutan bertuah. Memang rasa mustahil untuk saya menang hadiah ini.
“Saya tahu pertandingan ini ada menawarkan hadiah kereta, jadi, saya mencuba, lagipun untuk sertainya pun mudah secara dalam talian sahaja. Alhamdulillah, mungkin rezeki mengandungkan anak pertama ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup MSAM 2022 di Kawasan Lapang, Pantai Batu 1, di sini malam semalam.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menyempurnakan majlis penutup penganjuran MSAM 2022 yang berlangsung selama seminggu sejak 24 November lalu.
Sementara itu, hadiah utama pertama iaitu sebuah kereta elektrik Hyundai Kona e-Lite, menjadi milik seorang ejen hartanah, Mohd. Safari Hamizan, 47, dari Bahau, Jempol.
“Sudah tentu kereta berharga RM156,000 ini merupakan hadiah paling berharga pernah saya terima sepanjang hidup.
“Saya ikuti MSAM sejak tahun 2017 pada ketika itu ia dianjurkan di Temerloh, Pahang. Tidak sangka penganjuran kali ini membawa tuah kepada saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Shahril Dasti, 46, dari Serdang, Selangor pula membawa pulang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV),Toyota Corolla Cross Hybrid yang berharga lebih RM145,000. –UTUSAN