Magis Siti Nurhaliza 'pukau' peminat di Johor

Magis Siti Nurhaliza ‘pukau’ peminat di Johor

SITI NURHALIZA (tengah) bersama Khai Bahar (kiri) serta Aina Abdul (kanan) 'memukau' peminat setia pada malam konsert eksklusif 'A Night To Remember' di Pusat Konvensyen Persada Johor Bahru, Johor kelmarin dan semalam. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walau berdepan masalah kesihatan selepas menghidap Covid-19 beberapa bulan lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak berdepan masalah memberikan persembahan terbaik dihadapan lebih 4,000 peminat yang menyaksikan persembahannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) Johor, di sini.

Buktinya, persembahan bertemakan ‘A Night To Remember’ itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja peminat warganegara tempatan, tetapi juga peminat dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Siti Nurhaliza juga tampak bertenaga sepanjang tempoh persembahan selama kira-kira tiga jam persembahan yang turut menampilkan artis jemputan, Khai Bahar dan Aina Abdul.

Menerusi persembahan berkenaan, Siti Nurhaliza menyampaikan lebih daripada 20 buah lagu termasuk lagu-lagu terdahulu yang pernah mempopularkannya dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara.

Antara lagu-lagu malar segar yang disampaikan termasuklah Cindai, Kau Kekasihku, Nian Di Hati dan Bicara Manis, manakala lagu-lagu baharu yang dinyanyikan antaranya Biarlah Rahsia, Terbaik Bagimu, Aku Bidadari Syurgamu serta Anta Permana.

Dalam pada itu, peminat turut tidak kecewa dengan persembahan artis jemputan. Khai Bahar menonjolkan kemampuan vokalnya menerusi lagu Bayang, Luluh serta Oh Wanita.

Manakala penyanyi yang popular dengan fesyen luar biasa Aina Abdul pula menggamatkan lagi dewan persembahan menerusi lagu Terus Hidup dan Semalam.

Sementara itu, seorang pengunjung, Shaidathul Suhana Ros, 37, memberitahu, dia berpuas hati dengan persembahan yang disajikan artis terulung tanah air berkenaan.

“Saya mula meminati Siti Nurhaliza sejak berusia 13 tahun menerusi lagu-lagu seperti Jerat Percintaan. Ini merupakan konsert Siti Nurhaliza yang pertama saya saksikan secara langsung.

“Sebelum ini saya hanya melayan lagu-lagu Siti Nurhaliza melalui corong radio dan dengan cakera padat tulen yang dibeli menggunakan duit sekolah yang disimpan,” katanya.

Sementara itu, Salmah Yunos, 49, pula memberitahu, dia berharap karier seni Siti Nurhaliza akan terus bersinar untuk berpuluh-puluh tahun akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.