Kerjasama sedia khidmat kaunseling perkahwinan, keluarga - Utusan Malaysia

Kerjasama sedia khidmat kaunseling perkahwinan, keluarga

SUHAIMI Mohd. Ghazali (tengah) ketika hadir pada Majlis Menandatangani MoU Projek Rintis Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Pusat Keluarga LPPKN, di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa jabatan dan agensi di negeri ini berhubung penyediaan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga.

Pengerusi LPPKN, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali berkata, MoU berkenaan telah ditandatangani bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi Projek Rintis Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga.

Beliau berkata, projek berkenaan bertujuan membantu pasangan suami isteri menyelesaikan masalah perkahwinan mereka melalui perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga oleh Kaunselor Berdaftar LPPKN. 

Menurut beliau, seramai 240 orang klien dalam fasa ingin bercerai dan idah dari JHEAINS dan JKSNS di daerah Seremban dilibatkan dalam projek tersebut.

“Jabatan Perangkaan dalam Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, 2021 melaporkan seramai 255,124 orang telah bercerai dari tahun 2017 hingga 2021. Data daripada Unit Kaunseling LPPKN Negeri Sembilan bagi tahun 2017 hingga 2019 pula merekodkan, sebanyak 1,022 sesi bagi kaunseling individu dan 2635 kaunseling kelompok/ keluarga telah dijalankan.

“Kes kaunseling yang paling tinggi dirujuk adalah perkahwinan dan komunikasi dalam keluarga. Senario ini mendorong kepada tercetusnya Projek Rintis Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga.

“Ia bertujuan menyebar luaskan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga LPPKN kepada masyarakat supaya pihak LPPKN Negeri Sembilan dapat bersama-sama JHEAINS dan JKSNS membantu pasangan-pasangan ini melalui tempoh kritikal dalam perjalanan rumah tangga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani MoU Projek Rintis Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Pusat Keluarga LPPKN, di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, MoU ditandatangani oleh Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Azlan Shah Nazrudin; Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli; Ketua Hakim Syarie JKSNS, Datuk Abas Nordin dan Setiausaha MAINS, Zainal Said.

Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, matlamat program berkenaan sejajar dengan objektif strategik Pelan Strategik JHEAINS, iaitu pengukuhan kolaborasi strategik dengan menggariskan usaha memperluaskan rakan strategik dalam melaksanakan program dakwah terutamanya dalam memudahkan urusan kemaslahatan ummah.

Menurut beliau, jumlah kes yang telah dirujuk kepada Unit Khidmat Nasihat JHEAINS bermula daripada bulan Januari lalu hingga Disember ini adalah sebanyak 766 aduan kes klien telah diterima. 

“Kebanyakan aduan yang diterima adalah melibatkan pengabaian tanggungjawab terhadap pasangan, masalah komunikasi pasangan dan masalah akhlak sosial pasangan suami isteri,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya