PETALING JAYA: Malaysia akan memperhalusi kerjasama pembangunan rentas sempadan dengan Indonesia susulan proses pemindahan ibu negara republik itu ke Kalimantan Timur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu akan dibawa ke dalam perbincangan mesyuarat Kabinet hari ini.
“Biar saya hadir ke mesyuarat Kabinet dulu sebelum mengulas lebih lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional (PPN) Indonesia memaklumkan proses pemindahan ibu negara baharu Indonesia iaitu dari Jakarta ke Kalimantan Timur akan dilakukan secara berperingkat mengikut visi panjang Indonesia 2045.
Proses yang bermula pada 2019 itu merupakan langkah Indonesia dalam membangunkan peradaban baharu yang lebih transformasi dan mencerminkan keperibadian rakyat Indonesia.
Langkah tersebut dipercayai boleh mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Indonesia melalui kerjasama bersama dalam sektor ekonomi yang saling melengkapi.
Pemindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan Timur itu turut membuka peluang kerjasama pembangunan ekonomi dan jaringan perhubungan dengan Malaysia khususnya melalui negeri-negeri di Sabah dan Sarawak.
Fadillah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, Jumaat lalu.
Beliau yang merupakan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini. – UTUSAN










