Kerajaan perpaduan: PH, BN Selangor akan bincang - Utusan Malaysia

Kerajaan perpaduan: PH, BN Selangor akan bincang

NG Suee Lim mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di Shah Alam, Selangor, semalam. -UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) masih lagi menjadi pembangkang di Selangor walaupun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan secara bersama oleh Pakatan Harapan (PH) dengan parti itu di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Bagaimanapun, PH negeri akan mengadakan mesyuarat selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selesai bagi membincangkan kerjasama dengan BN di peringkat Selangor.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, mesyuarat tersebut harus dibuat bagi mendapatkan maklum balas daripada semua kepimpinan parti dalam PH sebelum satu keputusan berhubung isu berkenaan.

“Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka membuat mesyuarat tersebut secepat mungkin. Bagi peringkat negeri, kami menyokong kerajaan perpaduan di peringkat Pusat yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, BN akan terus kekal di bahagian pembangkang sehingga selesai mesyuarat kali ini.

Kata Suee Lim, sebarang keputusan kerjasama itu akan dibuat Amirudin, jadi beliau harap semua pihak bersabar berhubung isu terbabit.

Dalam PRU Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, BN cuma menguasai empat DUN iaitu Sungai Air Tawar (Datuk Rizam Ismail), Sungai Panjang (Datuk Mohd. Imran Tamrin), Hulu Bernam (Datuk Rosni Sohar) dan Sungai Burong (Datuk Mohd Shamsudin Lias).

Bagaimanapun, BN menambah satu lagi kerusi iaitu Semenyih (Zakaria Hanafi) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada Mac 2019.

Sementara kerusi yang dimenangi PH menerusi tiket PKR pada PRU14 pula berkurang kepada 40 selepas Bersatu tewas dalam PRK Semenyih dan lima ADUN daripada parti itu menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sehingga kini, PH menguasai 40 kerusi DUN Selangor, BN (lima) dan Perikatan Nasional (PN) (empat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN