PETALING JAYA: Waris 31 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali boleh memfailkan saman kepada kerajaan sekiranya kejadian itu terletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan.
Malah keluarga turut diberikan ruang meneruskan proses saman sivil kepada pemilik tapak perkhemahan jika ia juga ada elemen kecuaian untuk memastikan keselamatan penghuni perkhemahan termasuk menilai risiko cerun dan kesesuaian lokasi sebelum dijadikan tapak perkhemahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagaimanapun berkata, laporan punca kejadian perlu dilakukan sebelum memulakan saman sivil untuk mengenal pasti punca kejadian runtuhan.
Menurut beliau, kajian itu untuk melihat faktor tragedi sama ada berpunca daripada kecuaian manusia ataupun alam semula jadi.
“Laporan ini melibatkan pelbagai pakar untuk melihat sejauh mana punca runtuh. Adakah disebabkan oleh faktor alam sekitar atau kerja-kerja tarahan bukit berlaku? Selepas kajian yang memerlukan masa dua tiga bulan, barulah kita kemukakan saman di mahkamah.
“Bukan sahaja pemilik tapak, tetapi juga melihat pihak berkuasa jika kawasan runtuh itu terletak di bawah bidang kuasa mereka. Namun sebarang pembuktian mahkamah, ia memerlukan kajian pakar-pakar terlebih dahulu untuk mengesahkan,” katanya.
KETERANGAN
Kejadian tanah runtuh pada 16 November lalu mengorbankan 31 mangsa. Susulan kejadian itu polis mengambil keterangan 77 individu termasuk pemilik tapak perkhemahan itu.
Dalam pada itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pemilik tapak perkhemahan bukan sahaja boleh dikenakan pendakwaan jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda, malah turut berdepan saman sivil oleh waris mangsa terkorban.
Menurut beliau, pemilik bertanggungjawab sepenuhnya memastikan keselamatan penghuni termasuk menilai risiko cerun dan kesesuaian lokasi.
“Kegagalan berbuat demikian menjadi hujah kuat keluarga mangsa untuk mengambil tindakan sivil seperti mana digariskan dalam undang-undang tort iaitu kesalahan membolehkan tindakan diambil ke atas pelakunya kerana sudah menjadi amanah pemilik tapak untuk menjaga keselamatan setiap individu dibenarkan masuk ke premis,” jelasnya.
Bagaimanapun, kata beliau, cabaran utama menanti keluarga mangsa selaku plaintif iaitu sejauh mana perlu membuktikan bahawa bukti kecuaian terhadap kegagalan pemilik tanah untuk memastikan tapak itu selamat untuk dijadikan kawasan perkhemahan.- UTUSAN










