fbpx

Kaukus BN-PH mampu bawa limpahan ekonomi ke Johor

HASNI MOHAMMAD ditemui selepas menghadiri Sidsng Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.

ISKANDAR PUTERI: Penubuhan Kaukus membabitkan Ahli Parlimen Johor daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu membawa limpahan ekonomi serta kemakmuran ke negeri ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, penubuhan kaukus melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH Johor merupakan langkah terbaik dalam menjamin negeri ini terus mendapat manfaat daripada Kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, perbincangan mengenai penubuhan kaukus itu akan diadakan sebaik sahaja Ahli Parlimen terlibat mengangkat sumpah Ahli Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

“Secara umum, banyak perkara yang memerlukan perhatian khusus Kerajaan Persekutuan seperti menaik taraf laluan lebuh raya, menarik pelabur ke Johor dan menambah baik kemudahan terminal feri yang menjadi pintu masuk negeri ini.

“Saya fikir perkara itu memerlukan usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Justeru, dengan adanya kaukus ini, maka, lebih banyak pembangunan dan kebaikan dapat dibawa ke negeri ini.

“Dengan empat Ahli Parlimen dari Johor yang dilantik dalam Kabinet, kaukus yang ditubuhkan ini mampu menjadi penghubung antara Ahli Parlimen Johor mengutarakan isu penting demi kepentingan Johor,” katanya selepas sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang DUN Johor, Liew Chin Tong mencadangkan penubuhan kaukus di peringkat negeri mengambil persefahaman antara BN dan PH yang diwujudkan di peringkat Parlimen. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kaukus  tersebut boleh membantu kerajaan negeri menerusi taklimat dan maklumat supaya semua Ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan. 

“Saya mencadangkan kepada ADUN Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad selaku Pengerusi BN Johor  berhubung satu kaukus Ahli Parlimen Johor ditubuhkan dengan penglibatan 24 Ahli Parlimen BN dan PH.

“Mekanisme ini akan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor serta belanjawan ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PH menang 14 kerusi Parlimen di Johor diikui BN mendapat sembilan dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN