KULIM: Parti Warisan mengingatkan pengundi dan penyokong mereka di Parlimen Padang Serai agar tidak mengundi calon parti itu, sebaliknya memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi berkata, langkah itu memandangkan Warisan sebelum ini sudah mengumumkan menarik diri daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai.
“Kami bagi sokongan penuh kepada calon PH dan mengarahkan seluruh jentera dan pengundi yang nak undi Warisan untuk beri undi kepada Dr. Mohamad Sofee Razak,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, mereka memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRU15 Parlimen Padang Serai dan keputusan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Semasa proses penamaan calon yang dilakukan semula pada 26 November, calon Warisan, Mohd. Bakhri Hashim atau mana-mana wakil daripada parti itu tidak hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadi masalah ekoran penyertaan Mohd. Bakhri sudah disahkan melalui proses penamaan 5 November lalu sebelum proses pengundian ditangguhkan akibat kematian calon PH.
Mengulas mengenai kekeliruan yang mungkin timbul dalam kalangan pengundi Warisan di kawasan itu, Fadzil berkata, mereka sedang bekerja keras untuk menjelaskan kepada penyokong parti itu.
“Memang nama (Mohd. Bakhri) dalam kertas undi masih ada sebab itu peraturan, jadi, kami turun ke lapangan untuk memaklumkan kepada pengundi Warisan agar undi PH untuk menguatkan lagi Kerajaan Persekutuan,” katanya. –UTUSAN










