Jangan terburu-buru robohkan Highland Towers

Jangan terburu-buru robohkan Highland Towers

KEADAAN Kondominium Highland Towers yang terbiar selama 30 tahun di Taman Hillview, Hulu Klang, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menangguhkan gesaan meroboh dua unit kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang bagi membolehkan kajian impak sosial dijalankan terlebih dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia yang juga pakar dalam bidang hartanah, Prof. Dr. Ismail Omar berkata, ia bagi memastikan sama ada tindakan berkenaan menguntungkan atau merugikan kerajaan sekiranya dilaksanakan.

Menurut Ismail yang juga Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), tindakan terburu-buru merobohkan bangunan yang hampir 30 tahun dibiarkan itu mungkin mendatangkan kesan buruk pada masa akan datang sekiranya tiada kajian dijalankan terlebih dahulu.

“Saya cadangkan buat satu kajian impak sosial untuk kita tengok kalau roboh apa kesan kepada negara, lokaliti dan penduduk sekitar sama ada merugikan atau tidak.

“Sekiranya merugikan apa perlu kerajaan buat untuk kurangkan kerugian itu dan rugi itu perlulah dalam konteks duit, pendidikan mahupun sejarah,” katanya.

Jelasnya, tindakan kerajaan merobohkan beberapa bangunan tinggalan seperti Penjara Pudu sebelum ini dilihat merugikan negara memandangkan ia mempunyai nilai sejarah disamping boleh dijadikan sebagai pengajaran dan tarikan pelancongan.

“Sama seperti bangunan Highland Towers, kalau tidak perlu dirobohkan ia boleh dipelihara sebagai satu monumen atau pusat pendidikan untuk mendidik pelajar dalam bidang bangunan supaya tidak melakukan kesalahan sama seperti itu.

“Kita juga tidak mahu bila Highland Towers diruntuhkan, ia dibiarkan begitu sahaja dan kalau roboh apa alternatif, adakah nak bina baharu atau tidak?

“Kerana itulah penting satu kajian impak sosial dijalankan terlebih dahulu dan biarlah lambat tetapi ia sesuatu yang menguntungkan kepada negara,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kawasan kondominium mewah, Highland To­wers masih tidak sesuai untuk sebarang pembinaan berikutan masalah kestabilan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, tiada jaminan keselamatan dapat dipastikan terutama untuk jangka masa panjang jika pembinaan dilakukan di atas tapak pangsapuri itu malah kos merobohkan dua blok itu boleh mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, penduduk sekitar bangunan yang terbiar sejak tragedi runtuhan satu daripada tiga unit kondominium pada 11 Disember 1993 itu, menggesa ia segera dirobohkan atas faktor keselamatan selepas dikatakan menjadi sarang penagihan dadah.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondomi­nium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Berikutan itu, penghuni dua blok lain dipindahkan dan sejak itu bangunan berkenaan terbiar dan ada yang mendakwa ia menjadi sarang penagih dadah.

Menghampiri usia 30 tahun selepas kejadian itu, Highland Towers dilihat mencacatkan pemandangan sekeliling yang menempatkan kawasan perumahan elit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya