Jabatan Perhutanan NS tingkat penguatkuasaan, pemantauan - Utusan Malaysia

Jabatan Perhutanan NS tingkat penguatkuasaan, pemantauan

SALEH AWALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati degil menjalankan aktiviti rekreasi di dalam hutan simpan kekal di seluruh negeri ini yang kini sedang ditutup bagi tempoh sementara.

Pengarahnya, Saleh Awaludin berkata, penguatkuasaan tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang perkara buruk terjadi selepas notis penutupan sementara telah dikeluarkan kepada semua pengunjung bagi sebarang aktiviti rekreasi termasuk pendakian di dalam hutan simpan kekal di negeri ini.

Jelasnya, penutupan itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air berlaku dan ia turut melibatkan kesemua taman eko rimba, Taman Negeri Kenaboi di Jelebu dan PD Forest Sungai Menyala di Port Dickson.

“Penguatkuasaan dan pemantauan akan kami tingkatkan, apabila kami tidak beri masuk, ada pula yang akan masuk ikut ‘pintu’ lain, jadi jika didapati ada yang memasuki hutan lipur atau kawasan pendakian, kami akan terus ambil tindakan.

“Kami tidak mahu berlakunya perkara tidak diingini, saya sudah arahkan pasukan penguat kuasa di daerah-daerah untuk memantau dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan,” katanya hari ini.

Sementara itu, menurut beliau, tindakan penutupan sementara sejak 1 Disember lalu itu jelasnya juga bagi mengelakkan berlakunya kerosakan lebih teruk di kawasan terlibat.

“Apabila cuaca tidak menentu, keadaan taman eko rimba dan hutan jadi rosak, Gunung Angsi teruk, kawasan pendakian lain juga teruk jadi kita tidak mahu rosakkan lagi, jadi kami kawal.

“Pada masa yang sama, penutupan ini memberikan kami masa untuk melihat kemudahan dan membolehkan kami akan baiki dan betulkan,” katanya yang memaklumkan semua aktiviti terlibat akan dijangka dibenarkan semula pada awal tahun hadapan bergantung keadaan cuaca.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya