KUANTAN: Kaedah elektrokinetik (EKM) antara pendekatan paling selamat dan lestari untuk melaksanakan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sekali gus mampu mengurangkan risiko kerosakan ekosistem secara drastik.
Ia jauh lebih mesra alam berbanding perlombongan konvensional yang lazimnya melibatkan penarahan bukit dan pengorekan tanah secara terbuka serta berisiko tinggi terhadap biodiversiti dan sistem hidrologi kawasan hutan.
Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, ada dua kaedah yang tidak mengubah ekosistem HSK secara drastik berbanding perlombongan konvensional iaitu EKM dan in-situ leaching (ISL).

Katanya, dua kaedah itu memanfaatkan sifat Lempung Jerapan Ion (IAC) yang menyimpan REE dalam bentuk terikat pada zarah lempung tanpa perlu menggali atau merosakkan permukaan tanah secara besar-besaran.
“Kaedah ISL menggunakan larutan kimia untuk melarutkan REE dari tanah manakala EKM pula memanfaatkan arus elektrik melalui proses electroosmosis dan electromigration untuk menarik keluar unsur tersebut ke dalam larutan.
“Namun, kaedah elektrokinetik lebih lestari kerana tidak melibatkan penggunaan bahan kimia secara berlebihan yang berpotensi mencemarkan sistem air bawah tanah dan sungai berhampiran.
“Dengan EKM, risiko pencemaran larut lesap dapat dikurangkan secara signifikan, menjadikannya pilihan yang lebih selamat untuk perlombongan di kawasan sensitif seperti HSK,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Walaupun penggunaan teknologi EKM boleh membuka peluang kepada Malaysia untuk menjadi peneraju dalam perlombongan REE secara hijau di rantau ini, sejajar dengan aspirasi negara ke arah ekonomi rendah karbon dan pembangunan teknologi tinggi, namun difahamkan, pelaksanaannya memerlukan pelaburan awal dalam sistem elektroda, kawalan voltan dan pemantauan geokimia.
Justeru kerjasama antara sektor awam dan swasta penting bagi memastikan kejayaan jangka panjang.
Nor Shahidah berkata, teknologi elektrokinetik membolehkan pemantauan dan kawalan lebih tepat terhadap proses perlombongan, sekali gus meminimumkan gangguan terhadap flora dan fauna setempat.
“Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, malah boleh dilaksanakan secara modular dan berskala kecil, sesuai untuk kawasan yang memerlukan pemuliharaan tinggi,” katanya.
Katanya sebarang aktiviti perlombongan di HSK perlu disokong oleh kajian impak alam sekitar (EIA) yang teliti serta pematuhan ketat terhadap garis panduan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor REE, tetapi kita tidak boleh mengorbankan khazanah alam semula jadi demi keuntungan jangka pendek.
“Oleh itu, pihak berkuasa disaran mempertimbangkan kaedah EKM sebagai standard baharu dalam perlombongan REE, khususnya di kawasan hutan simpan dan tanah tinggi yang sensitif,” katanya.
Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, walaupun Malaysia mempunyai sumber REE yang banyak, tetapi usaha melombongnya berhadapan dengan laluan sukar berikutan sebahagian besar bahan galian itu berada di kawasan HSK. – UTUSAN










