Insiden 'fun fair': Dua beradik cedera serik, alami igauan ngeri 

Insiden ‘fun fair’: Dua beradik cedera serik, alami igauan ngeri 

FAIZAH Mat Sam (kiri) melihat keadaan Shah Faraz dan Noraziera yang cedera dalam insiden itu di kediamannya di Kampung Bukit Kuching, Jeram, di Kuala Selangor, Selangor. UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Dua beradik yang tercampak daripada permainan ‘Sotong Ride’ di tapak pesta ria Bandar Puncak Alam di sini, kelmarin mengakui serik dan menyifatkan insiden itu igauan paling ngeri hidup mereka.

Perasaan trauma masih dirasai dan sukar dilupakan Shah Faraz Aiefan Zulkiffle, 11, dan kakaknya, Noraziera, 31, yang masing-masing cedera di muka serta kaki.

Menceritakan kejadian itu, Noraziera berkata, dia bersama tiga beradik lain membeli tiket permainan berkenaan, kira-kira pukul 8.15 malam.

Jelasnya yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang minyak itu, dia berada bersebelahan Shah Faraz pada awalnya tidak merasai apa-apa ketika dua pusingan pertama gondola tersebut.

“Namun, ketika pusingan ketiga, ia mula laju dan saya memegang besi keselamatan sebelum tercampak keluar. Pada waktu itu, saya terjatuh ke atas seorang wanita dan berasa kesakitan di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching, Jeram.

Sementara itu, Shah Faraz seorang pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharajalela berkata, insiden berkenaan berlaku pantas dan dia nekad untuk tidak lagi menaiki permainan di tapak pesta ria.

“Saya hanya menyedari diri sudah terpelanting dan kesakitan pada muka yang berdarah. Mata sebelah kiri saya juga tidak dapat dibuka dan bengkak teruk sehingga kini,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Faizah Mat Sam, 52, berkata, keluarga masih kekal untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha tapak pesta ria tersebut.

“Setakat ini, pihak berkenaan belum datang menemui saya untuk membincangkan perkara tersebut. Bagi saya, insiden ini amat serius kerana melibatkan soal keselamatan dan nyawa yang tidak boleh dibeli dengan wang,” luahnya.

Kelmarin, suasana di tapak pesta ria itu gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera dalam insiden terjatuh daripada satu permainan, kira-kira pukul 8.50 malam.

Siasatan awal mendapati mangsa melibatkan seorang kanak-kanak dan dua wanita di kawasan permainan ‘Sotong Ride’. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.

Semakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mendapati pengusaha tapak pesta ria itu berdegil untuk beroperasi biarpun arahan sitaan dikeluarkan sebelum ini.

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya menjalankan sitaan itu pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya