GUA MUSANG: Seorang ibu cekal menjaga anaknya, Muhammad Asyraf Ismail, 24, yang menderita akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan otak sejak dua bulan lalu.
Norizan Mahasan, 54, berkata, sejak itu dia terpaksa memberikan tumpuan penuh kepada anak keenam dari sepuluh beradik itu yang bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk mendapatkan bekalan tenaga.
Menurutnya, susu tersebut terpaksa diberikan melalui tiub kerana Muhammad Asyraf tidak boleh menjamah makanan yang keras.
“Luluh hati saya apabila melihat berat badan anak kira-kira 55 kilogram kini seperti tengkorak hidup apabila beratnya turun sehingga 30 kilogram.
“Pada mulanya, Muhammad Asyraf hanya mengalami demam biasa dan badannya lemah sebelum dibawa pulang ke rumah seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai,” ketika ditemui pemberita di Kampung Lepan Jaya, di sini hari ini.
Norizan memberitahu, selepas 10 hari dirawat di HSIP, Muhammad Asyraf dibawa pulang ke rumah dan perlu menggunakan alat bantuan oksigen yang disewa dengan harga lebih RM300 sebulan.
Katanya, setiap sebulan, dia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM500 untuk membeli susu dan tidak termasuk lampin pakai buang. Pendapatan suami (Ismail Dris,61) yang bekerja sebagai pemandu lori tidak menentu kerana bergantung sepenuhnya kepada permintaan pelanggan.
“Dalam tempoh dua bulan sejak Asyraf sakit, segala perbelanjaan perubatannya dibantu oleh adik-beradik selain duit sedekah daripada jiran dan penduduk kampung lain yang datang menziarah. Alhamdulillah, baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim ada datang berkunjung dan memberi sumbangan dapatlah membantu meringankan beban,” ujarnya.
Norizan memberitahu, setakat ini, anaknya masih belum menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan akan membuat permohonan selepas ini.
Katanya, dia berharap ada pihak dapat memberikan sumbangan alat bantuan oksigen dan bantuan lain untuk membeli keperluan lain.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Ismail di talian 0196473839 atau melalui nombor akaun Bank Rakyat, 221086253153.-UTUSAN