Harga simen naik 30 peratus, kontraktor pening

Harga simen naik 30 peratus, kontraktor pening

KENAIKAN harga simen mengakibatkan ramai kontraktor terbeban kerana perlu mengawal kos projek dengan lebih ketat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga simen, yang merupakan salah satu daripada Barang Kawalan Berjadual, melonjak naik sehingga 30 peratus iaitu daripada RM17 setiap beg seberat 50 kilogram kepada RM22.50 sejak pembubaran Parlimen pada Oktober lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, keadaan itu mengakibatkan kontraktor di seluruh negara kini terbeban untuk mengawal kos projek.

Menurutnya, apabila harga simen yang menjadi bahan asas pembinaan naik mencanak, secara automatik harga bahan lain yang menggunakan simen seperti longkang, bumbung dan simen siap bancuh turut naik.

Mohamed Fadzill berkata, sebagai produk kawalan, kenaikan itu tidak patut berlaku tanpa justifikasi munasabah, mengambil kira simen sebagai bahan asas utama sektor pembinaan dan impak buruk kenaikannya terhadap industri pembinaan.

“Sebelum PRU15, harganya RM17 satu beg simen. Apabila bubar sahaja Parlimen dan di ketika kerajaan sementara menguruskan negara, terus harganya mencanak jadi RM22.50 satu beg dan berterusan sampai hari ini.

“Simen adalah barangan kawalan kerajaan, harga tak boleh dinaikkan sesuka hati, apatah lagi ia berlaku sewaktu perubahan pentadbiran kerajaan. Kita sangat berharap kerajaan baharu ini memantau perkara ini dan menurunkan semula harganya ke harga sebelum ini,” katanya sewaktu dihubungi, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia, Adnan Mohd. Farok sewaktu dihubungi, turut mengesahkan kenaikan harga bahan tersebut sejak pembubaran Parlimen.

“Ini adalah akibat daripada ketidakstabilan politik. Ada pihak disyaki mengambil kesempatan meningkatkan harga bahan binaan itu, sekali gus akan menjejaskan projek-projek pembinaan sama ada kecil atau besar.

“Peningkatan harganya pasti akan meningkatkan harga bahan-bahan yang lain yang ada kaitan dengan simen. Sehingga hari ini, harganya masih tidak turun dan kekal pada paras RM22.50 bagi satu beg 50 kilogram,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai bahan binaan sekitar Lembah Klang turut mengesahkan memang berlaku kenaikan drastik.

Seorang pemilik kedai perkakasan di Dengkil yang enggan namanya disiarkan berkata, dia tidak tahu punca kenaikan itu dan terpaksa menjual pada harga lebih tinggi kerana mendapat bekalan pada harga yang tinggi juga.

“Memang harga sudah naik banyak tinggi, sekarang ada kedai jual RM22, ada jual RM21. Di kedai saya, kalau mahu ambil banyak, kita boleh bagi RM19 satu beg. Kilang naikkan harga. Kita jual sahaja,” katanya.

Seorang peniaga kedai bahan binaan di Bangi berkata, dia terpaksa menjual pada harga yang lebih tinggi kerana perlu mengekalkan margin keuntungan.

“Saya tahu ramai tukang rumah merungut tetapi harga borong sudah naik, maka saya terpaksa juga menaikkan harga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×