Dasar pendidikan sedia ada diteruskan -Fadhlina

Dasar pendidikan sedia ada diteruskan -Fadhlina

FADHLINA Sidek pada sidang akhbar khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dasar pendidikan sedia ada termasuk Transformasi Pendidikan yang diperkenalkan oleh pentadbiran sebelum ini, akan diteruskan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bukan hanya diteruskan malah, dasar itu akan ditambah baik dengan proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada beberapa penambahbaikan daripada aspek proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan yang perlu dilaksanakan. 

“Aspirasi KPM sudah cukup jelas iaitu  setiap perkara yang hendak diputuskan perlu diteliti dan dikaji secara berhemah dan budaya ini akan terus dibawa dalam Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, kementerian juga akan membuat semakan semula terhadap silibus pembelajaran tahap satu seperti desakan pakar pendidikan sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa, pakar pendidikan berpendapat silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu sepatutnya mengambil kira tahap kemampuan kanak-kanak dan tidak terlalu sukar sehingga membebankan.

Menurut Prof. Madya Dr Hasnah Toran, semakan semula itu penting kerana murid tahap satu sebenarnya perlu terlebih dahulu menguasai kemahiran asas seperti mengira dan mengeja.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, adalah menjadi hasrat beliau untuk melihat murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera malah, perkara itu akan diberi keutamaan oleh kementeriannya.

“Justeru, KPM akan mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak termasuk Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) bagi mendapatkan pandangan serta input bagi memastikan hasrat ini tercapai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya