Danish Haikal terima Pingat Hang Tuah selamatkan dua adik dari

Danish Haikal terima Pingat Hang Tuah selamatkan dua adik daripada kebakaran

MOHAMAD Danish Haikal Mohd. Firdaus menunjukkan demonstrasi cara dia mendukung adik bongsunya, Nur Dhia Delisha ketika menyelamatkan diri daripada kebakaran kediaman mereka di Kampung Melayu, Kluang Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Menjerit meminta tolong sambil mendukung adik bongsunya keluar dari rumah yang terbakar.

Itu lah tindakan nekad seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sehingga berjaya membawa keluar dua orang adiknya daripada kebakaran yang berlaku di kediaman mereka di Kampung Melayu dekat sini Jun lalu.

Menceritakan detik cemas yang berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi pada 29 Jun lalu, Mohamad Danish Haikal Mohd Firdaus, berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya Nur Dhia Delisha,6, sedang tidur di dalam bilik. 

Katanya, secara tiba-tiba seorang lagi adiknya, Mohamad Darish Rizqie, 7, datang mengejutkannya dan memberi tahu ada api di atas kerusi di ruang tamu dan tanpa berlengah, mereka berlari ke dalam bilik mandi mengambil air menggunakan baldi untuk cuba memadamkan kebakaran, namun, api semakin marak. 

“Melihat keadaan itu, tanpa berlengah, saya mendukung Delisha selain mengarahkan Rizqie memegang baju bagi memimpinnya untuk keluar melalui pintu belakang sambil menjerit minta tolong. 

“Seorang jiran yang kebetulan berada di belakang rumah kemudiannya bertindak memecahkan pintu rumah bagi membolehkan kami tiga beradik keluar,” Katanya ketika ditemui hari ini. 

Menurut Mohamad Danish Haikal, ketika kejadian, ayahnya Mohd Firdaus Mohd Nasir, 33, dan ibunya Nurhidayah Shamsuddin, 31, tidak berada di rumah kerana masing-masing sedang bekerja. 

Berikutan keberanian luar biasa dan tindakan berani menyelamatkan dua adiknya, Mohamad Danish Haikal dianugerahkan dengan Pingat Hang Tuah sempena sambutan hari kanak-kanak sedunia baru-baru ini. 

Sementara itu, ibunya Nurhidayah Shamsuddin ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur dengan keberanian dan tindakan pantas anak sulungnya itu yang menyelamatkan adik-adiknya. 

“Sepatutnya, dia sekolah pada hari kejadian, namun, kerana cermin matanya hilang menyebabkannya tinggal bersama adik-adiknya yang turut bersekolah di sekolah tadika berhampiran rumah.

“Selepas kejadian itu, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga mereka kerana trauma bimbang berlaku kejadian serupa,” katanya.

Keluarga ini juga sudah berpindah dari Kampung Melayu ke Taman Sri Impian kerana bimbang untuk menyewa rumah jenis separuh papan lagi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN