PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 billion tanpa tender ketika era pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan aduan dibangkitkan oleh orang awam, SPRM telah mendapatkan maklumat dan keterangan daripada pihak Kementerian Kewangan untuk diteliti.
Menurut beliau, beberapa dokumen diambil daripada kementerian berkenaan bagi melihat sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
“Orang ramai membangkitkan dakwaan berkenaan, jadi adalah tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan di bawah bidang kuasa kita.
“Dokumen yang diperoleh akan diteliti untuk kita lihat sama ada berlaku pelanggaran tadbir urus, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Azam berkata, setakat ini SPRM belum memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.
“SPRM sedang teliti dokumen, kita belum panggil sesiapa lagi,” kata beliau.
ANWAR IBRAHIM
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawah kementerian itu semalam berkata, wujud perlanggaran peraturan dalam kelulusan peruntukan antara RM580 bilion hingga RM600 bilion oleh pentadbiran PN melibatkan perbelanjaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah besar peruntukan itu juga dibahaskan seolah-olah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti membelanjakan begitu banyak wang untuk rakyat sedangkan sejumlah besar wang itu adalah wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu wang rakyat sendiri selain wang daripada keputusan institusi perbankan yang melaksanakan moratorium sebagaimana diakui sendiri PN.
Anwar kemudian turut menempelak kerajaan PN yang sering menguar-uarkan kepentingan tadbir urus bersih, tetapi mereka langsung tidak ‘bersih’.
“Apabila disebut mengenai kelulusan yang dibuat dalam pentadbiran PN, ia membabitkan isu atau perkara yang tidak mengikut peraturan termasuk kelulusan sewaktu pelaksanaan PKP dua tahun lalu,” kata beliau.
Pada 30 November lalu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan membuat laporan polis berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana RM600 bilion ketika pentadbiran PN.
Bagaimanapun, Muhyiddin berterusan menafikan dakwaan tersebut selain menyatakan beliau tidak takut untuk disiasat.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun seterusnya berkata, pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi dalam isu tatakelola dan rasuah.
Kata Anwar, terdapat beberapa pemimpin yang lantang menggunakan istilah kleptokrasi walhal ahli keluarga mereka turut disyaki terlibat dalam urus niaga yang besar.
Sementara itu, pada pukul 4 petang semalam, SPRM menerima satu lagi laporan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penyatuan Ummah Malaysia berhubung isu dana RM600 bilion yang dicurigai berlaku penyelewengan dan persoalan pemilikan RM400 juta saham milik Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Laporan tersebut dibuat Pengerusinya, Zamil Ibrahim di Ibu Pejabat SPRM yang mahu kedua-dua isu tersebut disiasat dengan segera dan telus oleh SPRM.- UTUSAN










