Bayar tambang penuh walau sehari sahaja sekolah

Bayar tambang penuh walau sehari sahaja sekolah

Mohd. Haron Mohd. Sidik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tambang bas sekolah perlu dibayar penuh walaupun hari bersekolah cuma sehari sahaja berdasarkan persetujuan di antara pelanggan dengan pengusaha bas sekolah.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, tambang bas sekolah perlu dibayar penuh disebabkan pengusaha perlu membayar pinjaman bank atau kredit pada bulan-bulan tersebut.

“Jika gagal membayarnya, denda akan dikenakan. Mereka (bank dan syarikat pemberi kredit) tidak mahu mendengar alasan sekolah bercuti dan sebagainya.

“Pengusaha bas perlu juga membayar caruman Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada bulan tersebut. Jika gagal membayarnya denda akan dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, kegembiraan untuk menantikan cuti panjang yang bakal bermula tidak lama lagi sedikit terganggu apabila ibu bapa masih perlu menjelaskan bayaran penuh bas sekolah walaupun sesi persekolahan hanya berlangsung kira-kira seminggu pada bulan ini.

Menurut ibu bapa, situasi tersebut dirasakan tidak adil lebih-lebih lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang diminta membuat pembayaran penuh sebelum 3 Disember.

Mohd.Haron berkata, gaji pemandu perlu dibayar penuh pada bulan tersebut, jika gaji pemandu tidak dibayar bagaimana mereka hendak menyara hidup.

“Kemungkinan besar mereka akan bertukar kerja.Bila buka sekolah, mungkin anak anda tidak dapat diambil lagi kerana kekurangan pekerja.

“Pengusaha juga perlu duit tambang ini untuk urusan keperluan kehidupan mereka juga. Takkan sebulan itu pengusaha tidak perlu makan minum dan membayar ansuran pinjaman mereka,”katanya.

Katanya lagi, pengusaha tidak mendapat bonus gaji atau sebarang bantuan kewangan dari mana-mana pihak untuk menampung kehidupan mereka seperti yang dikecapi oleh kakitangan kerajaan dan swasta.

Beliau menambah, pelanggan telah bersetuju untuk membayar tambang penuh dengan menandatangani surat perjanjian menaiki bas sekolah di awal tahun, adalah tidak adil tiba-tiba ibu bapa cutikan anak mereka atau menghantar sendiri anak mereka sekolah semata-mata untuk mengelak bayar tambang bas sekolah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN