PETALING JAYA: Jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tahun hadapan wajar dipertimbangkan semula oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta kerajaan bagi memastikan jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) tidak terlalu tinggi.
Sekiranya OPR dinaikkan melebihi paras tertinggi yang pernah dicatat negara iaitu 3.25 peratus, ia dikhuatiri membebankan peminjam serta perusahaan-perusahaan sehingga mereka tidak mampu membayar pinjaman masing-masing, malah berdepan dengan risiko gulung tikar.
Kadar OPR semasa adalah 2.75 peratus.
KRISIS
Krisis kewangan 1997 sehingga 1998 menyaksikan banyak firma serta syarikat-syarikat di negara ini gulung tikar ekoran kenaikan kadar faedah pinjaman yang terlalu tinggi didorong OPR ketika itu sebanyak 8.9 peratus.
Insiden berkenaan turut mendorong peningkatan NPL yang tinggi sehingga menyebabkan banyak institusi kewangan tidak dapat berfungsi dan hampir lumpuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mukaramah Harun menjelaskan, kejatuhan nilai ringgit serta OPR yang tinggi ketika itu menyebabkan bank-bank tempatan terpaksa mengambil langkah bergabung bagi meneruskan operasi.
“Pada masa itu, NPL sangat teruk dan menyebabkan banyak bank tidak boleh berfungsi kerana sistem kewangan kita jatuh hingga memaksa mereka bergabung.
“Ketika itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencadangkan kepada banyak negara agar meningkatkan harga tetapi Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (USD) iaitu 1 USD bersamaan RM3.80 dan dalam masa sama membuat pengawasan aliran modal,” katanya.
BERULANG
Bagaimanapun, menurut Mukaramah, kejadian serupa dilihat tidak mungkin berulang kembali ekoran ekonomi serta sistem kewangan negara masa kini lebih kukuh berbanding 1997-1998.
Namun, beliau mengingatkan agar Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mempertimbangkan sebarang kemungkinan untuk menaikkan OPR melebihi 3.25 peratus pada tahun hadapan.
“Berdasarkan sejarah pengalaman Malaysia semasa krisis ekonomi, BNM pernah meningkatkan OPR sehingga ke paras tertinggi 3.25 peratus pada Januari 2018 sehingga Mac 2019.
“Walaupun begitu, BNM perlu mengelak kenaikan OPR melebihi paras ini kerana kadar faedah yang tinggi boleh mendorong kepada NPL yang tinggi terutamanya kepada individu berpendapatan rendah dan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan kos pengeluaran,” katanya.
Tambahnya, jika kadar faedah terlalu tinggi, ia bakal memberi kesan kepada peminjam kerana mereka terpaksa membayar pinjaman lebih tinggi berbanding sebelum itu.
“Kita harus ingat bahawa terdapat hampir 97 peratus isi rumah di negara ini merupakan peminjam daripada institusi kewangan dan lain-lain, jadi, ia sudah pasti memberikan mereka tekanan dan bebanan jika OPR melebihi paras sepatutnya.
“Sekiranya ia berlaku, kerajaan perlu berbincang dengan bank komersial untuk menawarkan penstrukturan semula pinjaman seperti memanjangkan tempoh pembiayaan,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan OPR dinaikkan melebihi 3.25 peratus, Mukaramah berkata, ia bergantung kepada beberapa faktor, antaranya kadar inflasi negara, tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah dan harga minyak mentah dunia.
“Kemungkinan BNM meningkatkan OPR lebih 3.25 peratus itu hanya berlaku jika inflasi masih tinggi dan jika ia menurun tahun hadapan, OPR tidak akan naik melebihi 3.25 peratus,” katanya. -UTUSAN










