Bajet roboh Highland Towers sudah lulus – Zuraida

Bajet roboh Highland Towers sudah lulus – Zuraida

KEADAAN Kondominium Highland Towers yang terbiar selama 30 tahun di Taman Hillview, Hulu Klang, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja-kerja pembersihan dan pembangunan semula kawasan tapak Highland Towers yang terbiar sejak 29 tahun lalu tergendala selepas berlakunya pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) bulan lalu.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek yang diusahakannya sejak 2018 itu, sepatutnya sudah memasuki fasa terakhir untuk dilaksanakan.

“Isu Highland Towers ini saya cuba selesaikan sejak saya menjadi menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pada 2018 dan saya sudah berusaha selama tiga tahun untuk menyelesaikannya termasuk bertemu waris-waris.

AKHIR

“Perkara ini juga sudah sampai di peringkat akhir, sudah masuk pejabat Peguam Negara dan kewangan sudah luluskan sebanyak RM8.9 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Zuraida memberitahu, beliau juga sempat meminta pertolo­ngan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengambil alih KPKT selepasnya agar meneruskan kerja-kerja meroboh dua unit kondominium Highland Towers berkenaan.

“Sudah empat tahun saya usa­hakan dan kalau tidak jadi, memang saya tidak tahu nak cakap, ini janji saya kepada orang Ampang dan saya sudah usaha sampai titik habis.

“Kemudian kementerian di­serahkan kepada Reezal Merican dan saya sudah minta beliau membuat susulan dan pihaknya setuju ketika itu tetapi tidak sempat (sudah bertukar kerajaan),” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau berharap agar kerajaan baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan projek tersebut demi kepentingan negara dan rakyat selepas terbiar lebih 29 tahun.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk sama-sama melaksanakan agenda ini dan saya harap Pakatan Harapan (PH) laksanakannya dengan cara yang adil,” katanya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapat maklum balas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming gagal selepas beliau tidak menjawab panggilan.

GESAAN

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan gesaan penduduk agar rancangan merobohkan bangunan dua unit yang terbiar itu diteruskan demi keselamatan mereka selepas ia menjadi sarang penagihan dadah sejak sekian lama.

Bagaimanapun Pengerusi Ja­watankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, kawasan kondominium mewah itu masih dianggap tidak sesuai untuk sebarang pembinaan berikutan masalah kestabilan tanah.

Malah, sebarang pelaburan hendak dibuat di kawasan tersebut disifatkan tidak sesuai kerana bakal menelan belanja yang tinggi untuk meruntuh dua blok bangunan serta menyelenggara struktur tanah dan cerun.

Beliau berkata, tiada jaminan keselamatan dapat dipastikan terutama untuk jangka masa panjang jika pembinaan dilakukan di atas tapak pangsapuri itu.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondomi­nium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Berikutan itu, penghuni dua blok lain dipindahkan dan sejak itu bangunan berkenaan terbiar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×