JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, lantikan Ahli Parlimen BN sebagai Jemaah Menteri mampu membantu mengukuhkan kedudukan BN secara keseluruhannya.
“Elemen paling penting adalah untuk Anwar Ibrahim melantik ahli Kabinet yang beliau berasa selesa untuk bekerjasama dengan mereka.
“Selain daripada efisien, Kabinet juga perlu memaparkan dan mewakili aspirasi umum rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, walaupun kerajaan perpaduan diketuai Pakatan Harapan (PH), namun, BN perlu memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagai sebahagian daripada kerajaan semasa.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi layak dilantik jawatan Timbalan Perdana Menteri bersandarkan pengalaman luas dimilikinya di peringkat pusat.
Menurutnya, Ahmad Zahid lebih sesuai menjadi Timbalan Perdana Menteri berbanding Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun, perkara itu tertakluk kepada kuasa prerogatif Anwar. –UTUSAN










