Bukan masa sesuai kapal kerja, dagang belayar di laut

1,340 kapal kerja, dagang di Tok Bali diberi amaran laut bergelora

ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran bot semasa latihan di Jeti Jabatan Laut Kelantan, Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan hari.-UTUSAN/TOREK SULONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Jabatan Laut Negeri Kelantan akan mengeluarkan notis amaran laut bergelora kepada 1,340 kapal kerja dan kapal dagang yang keluar masuk muara Tok Bali di sini bermula 17 Disember ini.

Ketua Pejabat Laut Kelantan, Roslinda Muhammad berkata, notis berkait keadaan laut itu dikeluarkan berdasarkan laporan semasa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sepanjang musim Monsun Timur Laut.

Menurutnya, notis itu merupakan langkah bagi mengekang sebarang musibah di luar jangka sekali gus membataskan kapal belayar di tengah laut dan situasi yang menghalang mereka mudik ke muara.

“Kita akan mengeluarkan notis mengenai ketinggian ombak dan kelajuan tiupan angin yang mungkin berbahaya untuk pergerakan aktiviti di lautan.

“Notis itu dibuat secara komunikasi dengan memaklumkan situasi semasa keadaan laut menerusi radio kapal dan pelbagai pendekatan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan memadam kebakaran bot dan bangunan di Pejabat Jabatan Laut Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Roslinda memberitahu, pihaknya yakin bahagian pengurusan kapal dagang sudah mengambil langkah keselamatan yang terbaik selepas mengikuti laporan MetMalaysia.

Katanya, peringatan bahaya menjalankan aktiviti penangkapan ikan juga disampaikan oleh Jabatan Perikanan kepada semua bot nelayan di negeri ini.

“Jabatan Laut mengambil tanggungjawab terhadap pergerakan kapal kerja dan kapal dagang berulang-alik dari Pangkalan Bekalan Tok Bali ke pelantar minyak di sekitar negeri ini.

“Kita mengutamakan keselamatan nyawa warga maritim dan sebarang kerugian aset kapal dagang dengan mengambil langkah susulan memberi peringatan sehingga fenomena laut benar-benar dipastikan selamat,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN