Tak mustahil DAP 'telan' UMNO seperti di Singapura - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Tak mustahil DAP ‘telan’ UMNO seperti di Singapura – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Pas tidak akan ‘membunuh’ UMNO sebaliknya tidak mustahil DAP  ‘menelan’ parti itu seperti mana berlaku seperti di Singapura. 

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah membuktikan Pas banyak membantu UMNO dan dakwaan akan ‘membunuh’ UMNO jika kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar serta mengarut.

“Mana kata Pas nak bunuh UMNO, siapa yang bunuh UMNO di Singapura? PAP (People Action Party)  bukan Pas.

“Masa Singapura dulu tahun 50-an UMNO menang di Singapura, Lee Kuan Yew buat parti PAP ambil orang Melayu letak di depan macam sekarang letak Anwar di depan.

“Yusof Ishak letak di hadapan, letak menteri-menteri Melayu di hadapan, lepas itu UMNO ditelan, habis UMNO di Singapura oleh PAP,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Kampung Mentara di sini semalam.

Abdul Hadi berkata, apabila PAP masuk ke Semenanjung Malaysia, cawangan parti itu ditukarkan kepada DAP yang berasaskan perjuangan PAP sehingga Tuanku Abdul Rahman mengambil keputusan mengeluarkan Singapura dari Malaysia.

Justeru katanya, UMNO harus sedar percaturan dibuat mereka dengan bekerjasama dengan DAP akan merugikan orang Melayu dan Islam.

Beliau berkata, meskipun pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini tetapi Pas menolak kerjasama kali ini kerana parti itu menentang perjuangan Islam dibawa Pas.

Beliau memberitahu, antara penentangan dilakukan oleh DAP termasuklah menghalang dan mengkritik usaha Pas untuk mengharamkan arak di negara ini.         

“Ada orang kata mengapa dulu Pas berkawan dengan DAP, dulu kita berkawan dengan DAP tahaluf siyasi membolehkan menentang kezaliman, penyelewengan, tetapi DAP menentang Islam menentang dasar-dasar kita, menentang perjuangan kita,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN