Saya tidak akan lobi, rayu untuk jadi calon - Annuar -

Saya tidak akan lobi, rayu untuk jadi calon – Annuar

ANNUAR Musa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau sama sekali tidak melobi atau membuat rayuan jika nama tiada dalam senarai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Annuar sebaliknya berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada parti dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan mengenai siapa yang layak untuk bertanding pada PRU-15 kali ini.

“Saya difahamkan parti sedang melakukan proses tersebut (pemilihan calon). Macam-macam berita yang saya dengar dan mengikuti rapat perkara tersebut.

“Malam ini, saya difahamkan ada surat jemputan untuk membuat pengumuman (calon) selepas dimaklumkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh (Setiausaha BN Kelantan) Datuk Md. Alwi Che Ahmad. Namun, setakat ini, saya tidak dijemput untuk hadir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Annuar memberitahu, perihal berkait dengan calon bukanlah perkara yang harus atau boleh diminta-minta serta lobi. 

Katanya, beliau berpegang dengan prinsip sejak dahulu iaitu seseorang calon tidak boleh meminta-minta.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh mengesahkan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, ditawarkan untuk menjadi calon di Parlimen Ketereh.

Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.

“Beliau (Marzuani Ardila) dipanggil untuk bertemu dengan pucuk pimpinan parti sebelum ini tanpa pengetahuan saya. Selepas itu, Marzuani Ardila telah merujuk tawaran berkenaan kepada saya. 

“Jadi, saya tidak tahu sama ada beliau menerimanya atau tidak,” ujarnya.

Utusan Online semalam melaporkan, arena politik negeri ini yang sebelumnya ‘dingin’ bertukar ‘kecoh’ apabila nama Annuar dilaporkan tidak tersenarai sebagai calon BN pada PRU-15.

Setakat ini difahamkan hanya dua nama penyandang yang masih diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon Parlimen pada PRU-15 nanti iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li di Gua Musang.

BN Kelantan kemudian memaklumkan, pihaknya sudah menamakan Annuar untuk kekal sebagai calon parti itu di Parlimen Ketereh.

Pencalonan itu selari dengan status Annuar selaku penyandang kerusi parlimen berkenaan sebelum ini.

Pada PRU-14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi itu dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas (Wan Ismail Wan Jusoh) dan PKR (Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin).

Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467 undi, Pas (20,841) dan PKR (6,799). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya