JENTERA kempen pilihan raya parti-parti politik yang bertanding di kerusi Parlimen di Terengganu mula mengatur langkah dan strategi sejurus gendang perang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipalu pada Sabtu lalu.
Pada minggu pertama gelanggang dibuka telah menampakkan bayangan kemenangan hanya berpihak kepada dua parti dominan di negeri tersebut iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Calon-calon daripada parti-parti lain seperti Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Bebas didapati ketinggalan dan sukar bersaing dengan kekuatan PN dan BN.
Pada PRU14, Pas memenangi enam kerusi Parlimen iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu. Bersatu pula mendapat kemenangan di Hulu Terengganu manakala BN memenangi satu kerusi di Besut.
Pada PRU15, PN Terengganu yang menggabungkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan dicabar sengit BN dan dijangka tewas di tangan BN sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen daripada lapan dipertandingkan.
Tiga kerusi PN yang dijangka tewas adalah Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu, namun PN diramalkan dapat mengekalkan kemenangan di Marang, Kuala Terengganu dan Dungun.
KEJUTAN
Pada masa sama, BN juga tidak mahu menyerah kalah dan berusaha untuk melakukan kejutan dengan mencipta kemenangan bergaya di tiga-tiga kerusi yang merupakan kubu kuat Pas itu.
Sementara itu, dua lagi kerusi iaitu Kuala Nerus dan Setiu dilihat masih seimbang sokongan yang diterima antara BN serta PN dan kemenangan parti di dua kerusi tersebut akan dapat dilihat selepas kempen menjelang 19 November ini.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi sebelum ini melahirkan keyakinan parti itu dapat menawan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini dengan majoriti lebih besar.
“Kemenangan besar itu mampu dicapai hasil gabungan dengan Bersatu dan Gerakan dalam PN serta menampilkan calon-calon berwibawa dan penolakanpengundi terhadap BN,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said pula menyatakan BN mempunyai harapan merampas tiga kerusi yang disandang PN iaitu Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu, selain mempertahankan Besut.
Di Kemaman, calon Pas yang bertanding atas tiket PN, Che Alias Hamid didapati sukar mempertahankan kerusi disandangnya apabila bertembung dengan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, selain Hasuni Sudin (PH) dan Rosli Ab. Ghani (GTA).
MEMILIH
Di Besut pula, PN dikatakan tersalah memilih calon apabila menampilkan bekas Ahli Parlimen Setiu daripada BN, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang menyertai Pas setelah kecewa tidak dicalonkan pada PRU14.
Calon BN di Besut menampilkan Ketua UMNO Bahagian Besut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad manakala pencabar lain ialah Abd. Rahman @ Abd Aziz Abas (PH) dan Wan Nazari Wan Jusoh (GTA).
Pada PRU14, kubu kuat BN itu dimenangi Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh.
Di Hulu Terengganu pula, calon PN, Datuk Rosol Wahid daripada Bersatu dijangka gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu yang dimenangi atas tiket BN pada PRU14 sebelum bertindak menyertai Bersatu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berhadapan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat serta dua lagi calon, Alias Ismail (PH) dan Mohd. Khadri Abdullah (GTA).
Dalam pada itu, Abdul Hadi pula dijangka mempertahankan Marang yang merupakan kubu kuat Pas, namun calon BN, Jasmira Othman mahu mencipta nama sebagai giant killer mengalahkan Abdul Hadi manakala calon-calon lain ialah Azhar Ab. Shukur (PH) dan Dr. Zarawi Sulong (GTA).
Di Kuala Terengganu, PN juga dijangka kekal dikuasai PN dengan menampilkan penyandangnya, Timbalan Menteri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan beliau akan dicabar calon BN, Datuk Mohd. Zubir Embong serta Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (PH) dan Mohamad Abu Bakar Muda (GTA).
DIJANGKA
Satu lagi kerusi yang dijangka dimenangi Pas ialah Dungun yang mempertaruhkan mula lama, Wan Hassan Mohd. Ramli dan dicabar empat calon lain, Nurhisam Johari (BN), Mohasdjone @ Mohd. Johari Mohamad (PH), Nor Aisah Hasan (GTA) dan calon Bebas, Ghazali Ismail.
Parlimen Kuala Nerus merupakan kawasan menjadi tumpuan pada PRU15 apabila penyandangnya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang berhenti menjadi ahli Pas dipilih bertanding atas tiket BN dan berdepan calon PN, Datuk Dr. Alias Razak, Datuk Seri Suhaimi Hashim (PH) serta Azaha Wahid (GTA).
Situasi di kerusi Setiu juga hampir sama apabila sukar diramal sama ada calon PN, Shaharizukirnain Abd. Kadir dapat mempertahankan kerusi yang disandang apabila ditentang calon BN, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin, calon PH, Mohamad Ngah dan calon GTA, Wan Adnan Wan Ali.
Di Terengganu, jumlah pengundi yang berdaftar ialah seramai 922,856 orang termasuk pengundi muda berusia 18 tahun yang kali pertama mengundi.- UTUSAN










