Lima tekad Adnan di Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Lima tekad Adnan di Kuala Pilah

ADNAN Abu Hassan sewaktu berucap pada majlis Oghang Pilah Bersamo Tok Mat di Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan hari ini melancarkan lima tekad dalam usaha menarik sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Dikenali sebagai 5 Tekad TokNan, ia menggariskan lima agenda yang dijangka melonjakkan Kuala Pilah sebagai kawasan Parlimen yang maju dan berdaya saing di negara ini.

Lima tekad Kuala Pilah itu ialah Aman dan Inklusif, Kelestarian, Digital, Warisan dan Sihat mencakupi semua segmen masyarakat.

Adnan berkata, lima tekad itu digarap dengan teliti selepas mengambil kira pendapat dan pandangan daripada semua lapisan rakyat di Kuala Pilah yang tidak mahu tertinggal dalam arus kemajuan negara.

“Rakyat di kawasan Parlimen ini boleh membaca dan meneliti lima tekad ini dan saya terbuka menerima pandangan balas daripada mereka.

“Saya berharap mereka akan bersama-sama menjayakan tekad ini sekiranya BN dipilih dalam pilihan raya Sabtu ini,” katanya selepas menghadiri majlis Oghang Pilah Bersamo Tok Mat di sini hari ini.

Perasmian majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan. Yang turut hadir, Pengerusi BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim dan para pemimpin BN tempatan.

Adnan memberitahu, lima tekad itu akan disebar luas menggunakan pelbagai medium terutamanya media sosial oleh pasukan kempennya.

Beliau yakin, pelancaran agenda itu mampu membantunya meraih semula kerusi Parlimen Kuala Pilah yang terlepas kepada Pakatan Harapan dalam PRU lalu dengan majoriti tipis 200 undi.

Adnan berhadapan saingan lima penjuru dalam PRU kali ini dengan jumlah pemilih di Kuala Pilah meningkat kepada 63,247 orang berbanding 49,801 pengundi pada PRU14.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya