KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin disifatkan hanya instafamous (pempengaruh) yang diminati kelompok orang muda di media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R. Ramanan berkata, nama Khairy popular di media sosial tetapi tidak menjanjikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Khairy yang dikatakan figura besar itu bukannya besar mana pun. Dia pun manusia, cuma bezanya Khairy adalah instafamous popular di media sosial.
“Kita tidak boleh ambil kira nilai instafamous macam ini dan katakan dia boleh menang atau simpulkan kedudukan dia lebih tinggi dari yang lain.
“Mungkin itu beri kelebihan kepada Khairy tapi kalau kita tengok, sekiranya kita nak undi seseorang kerana dia instafamous maka Presiden Amerika Syarikat bukanlah Joe Biden tetapi Justin Bieber,” katanya di sini semalam.
Daftar pemilih setakat April lalu di Parlimen Sungai Buloh merekodkan pengundi Melayu meliputi 97,000 orang, Cina 32,060, India 16,108 dan lain-lain 10,725 orang. – UTUSAN










