Hapuskan terus subsidi, beri bantuan tunai kepada rakyat

Hapuskan terus subsidi, beri bantuan tunai kepada rakyat

PETROL adalah antara bahan bersubsidi yang paling banyak disalahgunakan termasuk oleh warga asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan subsidi sepenuhnya kerana terdapat terlalu banyak ketirisan yang sukar ditangani.

Sebaliknya, beliau men­cadang­kan supaya kerajaan menaikkan bantuan tunai secara bersasar supaya rakyat yang memerlukan boleh terus berbelanja walaupun berlaku kenaikan harga barang disebabkan penghapusan subsidi.

“Kita sudah tahu siapa golongan daripada B40. Untuk dapatkan mekanisme subsidi bersasar memang sukar. Sebab itu, subsidi ini perlu dihapus dan digantikan dengan kaedah lain seperti menaikkan bantuan kepada rakyat.

“Oleh itu, Saya berharap dalam minggu hadapan pegawai-pegawai kerajaan akan memanggil pihak swasta, peruncit, pengilang dan entiti lain berjumpa serta berkongsi pandangan bagaimana untuk menurunkan kos sara hidup,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi tempoh dua minggu kepada semua pihak berkaitan bagi mengkaji semula agihan subsidi di negara ini supaya ia lebih bersasar.

Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berharap supaya subsidi bersasar dapat dilaksana secepat mungkin memandangkan ia sudah lama tertangguh sejak negara bertukar tampuk pimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Dr. Abdul Halim Husin berkata, pelaksanaan subsidi bersasar bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) menerima manfaat lebih banyak.

Pada masa yang sama, ia juga bagi memastikan golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak terus-menerus mengambil kesempatan yang sepatutnya diberikan untuk golongan B40 dan M40.

“Subsidi bersasar sudah lama dibincang oleh beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Tetapi hingga sekarang ia tidak dilaksanakan. Jadi, saya berharap kerajaan dapat melaksanakan subsidi bersasar selepas ini.

“Ada yang mencadangkan supaya subsidi dihapus atau dibatalkan. Tetapi, bagi saya ia tidak sesuai dilakukan sekarang kerana harga barang telah naik dan disebabkan subsidilah kita dapat menurunkan harga kepada kadar yang munasabah,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN