Gelombang sokongan pengundi Cina, India terhadap BN - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Gelombang sokongan pengundi Cina, India terhadap BN – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan pengunjung Fiesta Balik Bagan Datuk Jom Balik Mengundi di Jeti Waterfront Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Selepas seminggu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) mendapati terdapat gelombang baharu sokongan pengundi Cina dan India terhadap parti tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan ketara dapat dilihat dalam kalangan pengundi India dengan setakat ini kemungkinan berada pada tahap 45 peratus.

Menurut beliau, perubahan sokongan itu disebabkan pengundi kedua-dua kaum itu telah serik dengan kegagalan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan kemudian 17 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Saya amat teruja dalam lawatan ke beberapa kawasan parlimen ditandingi calon BN dan (perubahan sikap ini) satu gelombang baharu atas kegagalan dua kerajaan terdahulu selepas PRU14,” kata beliau  selepas merasmikan Fiesta Balik Bagan Datuk Jom Balik Mengundi di Jeti Waterfront Bagan Datuk di sini hari ini.

Sehubungan itu, Presiden UMNO itu meminta seluruh jentera dan calon BN menggandakan usaha untuk baki seminggu tempoh berkempen bagi meraih lebih banyak sokongan terhadap parti tersebut.

Beliau percaya PRU15 adalah masa untuk mengubat kerinduan pengundi pelbagai kaum di seluruh negara untuk melihat BN kembali memerintah negara.

Menurut beliau, kaedah berkempen telah diberitahu di seluruh negara melalui sistem sedia ada dalam ‘bilik perang’ yang telah mengaktifkan semua maklumat ke seluruh ‘bilik perang’ setiap negeri dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) berdasarkan lokaliti.

“Kita telah melipatgandakan usaha bukan sahaja kempen dari pintu ke pintu tetapi juga mengambil kira daripada ‘kiraan kepala’ pengundi-pengundi,” ujar beliau.

Mengenai sokongan Melayu, Ahmad Zahid memaklumkan, sokongan Melayu sentiasa menunjukkan peningkatan dan disifatkan sebagai ‘pengundi putih’.

MENARIK

Bagaimanapun, kata beliau, usaha dilakukan secara berfokus untuk menarik pengundi Melayu serta kaum lain yang berada dalam kategori ‘kelabu putih’ untuk menyokong BN walaupun tempoh seminggu ini dianggap singkat.

Mengenai pengundi 18 hingga 21, beliau menjelaskan, kesedaran kalangan mereka sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka dan Johor agak rendah.

“Tetapi, selepas itu ia memperlihatkan peningkatan dan di Johor sendiri kesedaran melalui pengundian menerusi dapatan kajian kita memperlihatkan bahawa lebih  80 peratus pengundi muda telah memihak kepada kerajaan memerintah ertinya kepada BN, ‘trend’ inilah yang mahu dikekalkan,” ujarnya.

Ditanya mengenai kajian terbaru Merdeka Centre yang mendakwa kajian media sosial mendapati kecenderungan pengundi Melayu dalam PRU15 lebih kepada PN berbanding BN, Ahmad Zahid menyatakan BN tidak bergantung kepada satu institut penyelidikan untuk mendapatkan data dan maklum balas PRU15.

“Saya telah melakukan pemerhatian terhadap keputusan beberapa penyelidikan dan bukannya hanya satu institut, tapi banyak institut, dan perbandingan yang kami buat daripada data diperoleh ialah gelombang sekarang (sokongan) kepada calon BN tanpa mengira kaum.

“Saya tidak menuduh sesiapa tetapi pandangan saya sesuatu penyelidikan itu mesti bebas sepenuhnya,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya