Gangguan bekalan air di Port Dickson jadi keutamaan untuk diselesaikan - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air di Port Dickson jadi keutamaan untuk diselesaikan

AMINUDDIN Harun menziarahi penduduk di Bandar Sunggala, Port Dickson hari ini.- UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Isu gangguan bekalan air di daerah ini yang sering menjadi keresahan penduduk tetap menjadi keutamaan kerajaan Negeri Sembilan malah rancangan jangka masa panjang turut telah tersedia bagi mengatasinya.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, isu setempat itu sering diberi perhatian namu mengakui ia mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan

“Isu setempat seperti masalah gangguan air, telah kita rancang (untuk diselesaikan) namun, isu ini tidak boleh selesai dalam sehari dua dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat. 

“Masalah bekalan air masih lagi membelenggu penduduk Port Dickson dan saya telah menyediakan satu tindakan jangka panjang seperti membina tangki perumahan dan pemasangan paip baharu dari Kolam Telok Kemang ke Kolam Si Rusa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kekeruhan sumber air dari Sungai Linggi sehingga menghadapi masalah untuk dirawat turut menjadi punca gangguan bekalan air di Port Dickson.

“Kita tahu apabila berlaku hujan lebat dan tanah runtuh akan menyebabkan kekeruhan punca air dan mengalami masalah untuk dirawat. 

“Saya difahamkan jika NTU (unit kekeruhan nefelometrik) melebihi 1,000, ia tidak sesuai untuk diagihkan kepada pengguna, sehingga NTU berada di paras yang dibenarkan. Itu punca pihak syarikat air terpaksa memberhentikan bekalan sekejap,” katanya lagi.

Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, selepas seminggu tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini, perjalanan kempennya berjalan lancar namun sedikit terganggu ekoran cuaca tidak menentu.

“Setakat ini, cuaca di sini tidak menentu sekejap panas sekejap hujan dan mengganggu sedikit jadual kempen kita seharian. Bagaimanapun, saya cuba kerana sudah berjanji dengan masyarakat untuk bertemu, kami cuba menyampaikan hajat mereka dan meneruskan lagi kempen harian kami” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya