Ebit Lew hadiahkan Viva buat Azimah

Ebit Lew hadiahkan Viva buat Azimah

EBIT Lew mengucup dahi Nurainul Zahirah Rashidi,6, selepas menghadiahkan Perodua Viva kepada ibu kanak-kanak OKU itu, Azimah Abd. Rahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Ebit Lew menghadiahkan sebuah kereta Perodua Viva kepada  seorang ibu tunggal, Azimah Abd. Rahim, 37, apabila terpaksa membawa anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) ke mana-mana sahaja sepanjang berkerja sebagai penghantar makanan.

Beliau berkata, pemberian kereta itu bagi membantu memudahkan pergerakan Azimah yang sentiasa ditemani anaknya, Nur Ainul Zahirah Rashidi, 6, untuk menghantar barang dan makanan dengan lebih selamat. 

Katanya, ini kerana selain bekerja sebagai penghantar makanan, ibu tunggal itu juga mengambil tempahan membuat mee kari dan laksa untuk rumah yang inginkan.

“Menangis akak terharu dalam kereta hadiah untuknya sambil peluk anaknya dan kata ‘ya Allah anak rezeki kita. Tak sangka dapat rezeki begini’. Sebak sayu hati bila ziarah akak ni tadi (semalam). 

“Kuatnya seorang ibu demi membesarkan anak dengan kerja menghantar makanan dengan mengendong anaknya. Syukur pada Allah , 11 bulan lalu kami carikan rumah dan kami bayarkan sewa bulanan rumah akak ini dan anak kecilnya sehingga kini,” kongsinya dalam laman sosial, malam tadi. 

Azimah
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia semalam yang menunjukkan Azimah terpaksa membawa anaknya ketika bekerja sebagai penghantar makanan.

Menurut Ebit, pihaknya cuba membantu untuk mencarikan pengasuh, tetapi anaknya itu aktif dan tidak mahu dengan orang luar. 

“Beberapa pengasuh tak dapat menjaganya kerana dia perlu perhatian 24 jam oleh ibunya. 

“Menangis bila jumpa akak ni. Katanya dari arwah maknya ingin jumpa saya. Setiap hari doakan saya. Ya Allah semoga Allah beri kekuatan buat kakak ini bersama anak kecilnya,” ujarnya. 

Terdahulu, gambar memaparkan Azimah mendukung Nur Ainul Zahirah menunggang motosikal ketika bekerja menghantar pesanan makanan yang disiarkan di muka depan akhbar ini semalam, tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian ramai. 

Bagaimanapun, Azimah ketika ditemui Utusan Malaysia memaklumkan, dia tidak mempunyai pilihan kerana bukan mudah untuk mencari pengasuh yang sanggup menjaga anak istimewa dan hiperaktif. 

Katanya, pengalaman mengambil anaknya di rumah pengasuh dalam keadaan badannya mempunyai banyak kesan lebam sudah pasti membuat hatinya tidak keruan.

“Nur Ainul bukan sahaja buta, malah dia seorang kanak-kanak yang hiperaktif. Pernah saya tinggalkan dekat pengasuh, tetapi bila ambil semula ada kesan lebam (pada badan). Bila ditanya, kata anak saya jatuh. Disebabkan itu, saya begitu fobia sehingga mengambil keputusan membawanya bersama bekerja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN