Dua wartawan diugut ketika membuat liputan PRU15

Dua wartawan diugut ketika membuat liputan PRU15

NG Kian Nam (tengah) bersama Afifi Hafiz (tiga dari kiri) dan wartawan portal berita membuat laporan polia di IPD Seremban di Seremban 2, Seremban malam semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang wartawan sebuah portal berita yang sedang membuat liputan pilihan raya calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rasah diugut dua lelaki dalam keadaan mabuk di sebuah restoran di Taman Seremban Jaya di sini petang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, mereka diugut supaya tidak membuat liputan media di situ sebelum salah seorang daripada wartawan ditolak, dibaling gelas, dibaling botol arak dan kasut.

“Bertindak atas laporan yang diterima, pada pukul 11.50 malam tadi pihak polis membuat tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang berada di Taman Seremban Selatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mereka yang sengaja mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.

“Pihak polis menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada wakil parti yang berkempen serta media yang membuat liputan kempen pilihan raya bagi memastikan suasana berjalan lancar dan harmoni,” katanya.

Terdahulu, dua wartawan tersebut bersama calon BN Parlimen Rasah, Ng Kian Nam dan Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan, Afifi Hafiz Mohd. Nor hadir membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada pukul 9 malam semalam.

Sementara itu, Afifi Hafiz berkata, beliau berasa kecewa dengan segelintir penyokong parti yang menyerang petugas media.

“Petugas media hanya menjalankan tugas melaporkan berita dan tidak terlibat dalam mana-mana parti politik. Diharapkan pihak polis bertegas dalam hal ini supaya keselamatan petugas media terjamin,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya